PUTRAJAYA – Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat menghadirkan dirinya ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit) baru-baru ini.
Malah Imran juga menolak dakwaan beliau sengaja berbuat demikian seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
“Saya berasa sangat sedih kerana tidak berpeluang untuk menghadiri Sidang Kemuncak KL baru-baru ini. Ini merupakan satu persidangan yang sungguh berfaedah bagi merapatkan lagi jurang antara ummah Muslim dalam kalangan kita.
“Ini juga merupakan satu platform bagi penduduk Muslim memberi tunjuk ajar serta didikan tentang Islam khasnya negara-negara Barat.
“Ramai yang mempunyai pemahaman yang salah dan kurang arif serta salah sangka terhadap Islam, persidangan ini sebenarnya telah berjaya membawa sedikit sebanyak objektif dan hakikatnya saya sedih tidak dapat hadir pada saat-saat akhir,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
Pada Disember lepas, Imran sehari sebelum KL Summit membuat pengumuman mengejutkan sehingga menyebabkan ramai pihak membuat pelbagai spekulasi.
Ia termasuk spekulasi Imran mendapat tekanan diplomasi ke atas negara Asia Selatan itu yang menerima sumbangan berbilion dolar daripada Arab Saudi.
Bagaimanapun, Imran berikrar untuk tidak ‘melepaskan’ peluang untuk datang ke Malaysia bagi menyertai KL Summit pada tahun depan ketika disoal wartawan.
“Ya, sudah tentu dan saya pasti hadir pada tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Imran juga melahirkan rasa gembira akhirnya dapat menangkis tanggapan KL Summit sebenarnya lebih kepada memecah belahkan umat Islam seperti andaian segelintir pihak.
“Selepas tamat persidangan, tanggapan kononnya KL Summit hanya cuba pecah belah ummah hanya sekadar cakap-cakap sahaja seperti yang difikirkan atau dikhuatiri oleh segelintir pihak.
“Sekarang nampak bagaimana hasil daripada KL Summit ini sebenarnya telah memberikan hasil positif dalam menyatupadukan ummah,” katanya.
Imran yang kini berada di Malaysia bagi lawatan rasmi dua hari bermula semalam telah mengadakan mengadakan pertemuan di Perdana Putra bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum sidang media bagi membincangkan kerjasama dua hala sedia wujud antara kedua-dua negara.
Ini merupakan lawatan kerja kali kedua bekas bintang kriket itu ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018 dan lawatan pertama beliau ialah pada November 2018. –MalaysiaGazette