Home MGNews TERKINI : Seorang Lelaki Warga Malaysia Mangsa Terbaharu Koronavirus

TERKINI : Seorang Lelaki Warga Malaysia Mangsa Terbaharu Koronavirus

Dua lagi kes baharu wabak koronavirus dilaporkan setakat semalam membabitkan seorang lelaki warga China dan Malaysia. Dengan pertambahan dua kes berkenaan, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah 10 kes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Ia termasuk lima kes dalam kalangan kes pesakit di bawah siasatan (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes lagi dalam kalangan kontak rapat. Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang lelaki China dari Wuhan, China yang tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Januari lalu.

Lelaki berusia 63 tahun itu mengalami demam ringan pada 23 Januari lalu dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Kes telah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan untuk tempoh 14 hari.

Pada 2 Februari lalu, demamnya masih berterusan dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan lanjut dan ujian makmal semalam mendapatinya positif koronavirus dan kini berada dalam wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

Dzulkefly berkata, kes kedua pula adalah seorang lelaki tempatan yang baru pulang dari negara jiran kerana menghadiri mesyuarat pada 16 hingga 23 Januari lalu.

Mesyuarat yang dihadiri oleh lelaki berusia 41 tahun itu turut disertai oleh beberapa delegasi antarabangsa termasuk negara China.