IPOH – Seorang warganegara yang berjaya dibawa pulang dari Wuhan ke Kuala Lumpur kagum dengan keseriusan dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat.
Luo Lin Da, 47, yang sedang dikuarantinkan selepas dibawa pulang dari Wuhan berkata, dia tidak sangka segala proses kemasukan ke Malaysia berjalan dengan lancar.
“Apabila baru mendarat, kami betul-betul terkejut kerana semua prosedur berjalan dengan lancar dengan setiap aspek pembersihan virus dilakukan dengan sangat baik.
“Polis, anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pegawai kesihatan menjalankan tugas masing-masing dan memberi perkhidmatan terbaik kepada kami,” katanya ketika dihubungi Sinchew Daily.
Menurutnya, rakyat dari Wuhan yang kembali ke Malaysia dilayan seperti “VIP” , sekali gus menandakan kerajaan serius dalam memerangi novel koronavirus yang sedang merebak dari China.
Kata Lin Da yang kembali ke Malaysia bersama isteri warganegara China, proses pulang ke tanah air adalah sangat berliku.
Lin Da yang merayakan Tahun Baharu Cina di kampung isteri tidak menyangka akan berdepan perintah berkurung.
“Seawal 30 Januari, ramai rakyat Malaysia telah menghubungi pihak kedutaan dan mengharapkan bantuan untuk pulang ke tanah air.
“Walaupun senarai nama dan maklumat telah diserahkan, tetapi kami gagal menerima apa-apa maklum balas yang menyakinkan,” katanya yang berasal dari Ipoh dan bekerja sebagai pengurus.
Disebabkan berurusan dengan ramai orang, pihak kedutaan telah membuka kumpulan dalam WeChat untuk menyebarkan maklumat terkini.
Tambahnya, maklumat yang diberikan bagaimanapun tidak konsisten dengan mulanya memberitahu bahawa pasangan rakyat Malaysia tidak boleh pulang.
“Keadaan ini menimbulkan reaksi terutamanya untuk rakyat Malaysia yang mempunyai anak kecil di China,” katanya.
Menurutnya, disebabkan pengumuman misi membawa pulang rakyat dibuat lewat, maka orang berkenaan perlu bergegas ke tempat berkumpul di wilayah Hubei.
“Pihak China pula hanya mahu menerima dokumen bercetak sementara dokumen elektronik yang kami ada tidak diterima.
“Isu-isu yang timbul menyebabkan kami menghabiskan berjam-jam untuk bertolak dari daerah ke kota dan ke destinasi berkumpul,” katanya.