SALAH satu kesan besar fenomena media sosial ialah menculnya satu kelompok pengguna media sosial yang layak digelar sebagai ‘wartawan ekspres’. Kebanjiran ‘wartawan ekspres’ ini umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan dilihat semakin menarik perhatian semua pihak.
Secara umumnya, istilah ‘wartawan ekspres’ boleh dirujuk kepada kelompok individu atau pengguna media sosial yang sering memuat naik, menghebahkan mahupun menyebarkan sesuatu gambar, penulisan atau berita sama ada sahih ataupun tidak dengan segera menggunakan pelbagai aplikasi dan laman sosial. Antara aplikasi dan laman sosial yang sering digunakan ialah, Facebook, WhatsApp, Telegram, Twitter, Instagram dan WeChat.
Modus operandi kelompok ‘wartawan ekspres’ yang sentiasa bertindak sebagai ‘keyboard warrior’ ini ialah masing-masing seolah-olah bersaing dan berlumba untuk menyebarkan sesuatu maklumat sepantas kilat untuk menarik perhatian masyarakat.
Ukuran kehebatan, pengaruh, kejayaan dan kepuasan mereka banyak bergantung kepada berapa banyak ‘like’ yang mereka perolehi serta berapa ramai pengguna laman sosial ‘share’ ataupun kongsikan berita terbabit.
Demi kepuasan ini ‘wartawan ekspres’ sanggup menghebahkan apa jua maklumat mahupun berita tanpa diperiksa asal usulnya terlebih dahulu sama ada ianya sahih ataupun tidak. Lebih merisaukan apabila mereka juga tidak pedulikan isi kandungan berita dan maklumat terbabit sama ada menyentuh isu sensitif atau tidak, berbaur hasutan, finah, menghina mahupun boleh mencetuskan provokasi.
Hakikatnya kebanyakkan daripada ‘wartawan ekspres’ ini boleh dikatakan tidak pernah mendapat pendidikan, pendedahan mahupun pengalaman formal sebagai seorang wartawan yang profesional maka jelas sekali mereka tidak mampu
menghayati etika kewartawanan yang sewajarnya. Tambahan lagi kejahilan mereka cukup terserlah apabila kita meneliti gaya penulisan yang boleh disifatkan cukup tidak beretika dan profesional, sekali gus boleh dipertikaikan dari segi ketelusan, keadilan, keseimbangan dan fakta yang disebarkan kepada khalayak.
Akibatnya budaya dan trend ‘wartawan ekspres’ ini membawa masyarakat kita ke suatu kemelut dan dilema yang cukup membayakan kerana lambakan penulisan yang
berbentuk pembohongan dan berbaur hasutan serta fitnah menggunakan alam maya berlaku secara berleluasa dan semakin sukar dikawal. Mereka menganggap media sosial adalah dunia tanpa sempadan dan juga tanpa undang-undang di mana mereka
bebas membuat apa saja tanpa had dan batas yang sewajarnya.
Walaupun kita menyanjung tinggi budaya dan hak kebebasan bersuara namun tindak tanduk dan tingkah laku ‘wartawan ekspres’ ini perlu diberi perhatian serius dan ditangani
dengan segera kerana jelas kebanyakkan maklumat yang disebarkan boleh memecah belahkan masyarakat serta mencetuskan persekitaran yang kurang sihat.
Penelitian penulis mendapati kebanyakan ‘wartawan ekspres’ ini menggunakan laman sosial dan pelbagai aplikasi lain untuk beberapa tujuan seperti menulis untuk kepuasan diri sendiri, meluahkan perasaan tidak puas hati, mencemuh atau
menyebarkan berita palsu secara suka-suka, menyebarkan gambar untuk mengaibkan orang lain serta ada juga yang menggunakan medium ini untuk mengenakan atau mensabotaj mana-mana individu terpilih untuk tujuan tertentu
seperti ‘pembunuhan watak/karakter’ di samping mencetuskan provokasi dalam kalangan kelompok masyarakat tertentu.
Walaupun ledakan teknologi maklumat dan digital tidak boleh dikekang mahupun dibendung namun kita tidak boleh membiarkan budaya tidak sihat ini terus berleluasa kerana dikhuatiri boleh mencetuskan pelbagai masalah dalam kalangan
masyarakat kita. Masakan tidak dengan hanya berbekalkan telefon pintar mahupun tablet setiap seorang daripada kita boleh menjadi ‘wartawan ekspres’ dengan menulis mahupun memuat naik apa jua gambar mahupun berita yang akhirnya boleh
menjadi viral di seluruh negara mahupun dunia.
Hakikatnya kebanyakkan daripada mereka ini tidak sedar kesan dan implikasi daripada perbuatan tidak beretika ini. Kita
akui media sosial banyak kebaikan dan kelebihannya. Misalnya sesuatu maklumat itu dapat disebarkan, dihebahkan dan dikongsikan kepada kumpulan sasaran dengan mudah, cepat dan dengan kos yang sangat minimum ataupun percuma.
Namun perbuatan segelintir pengguna media sosial yang menyalahgunakan kemudahan ini menyebabkan ada kalanya kita terpaksa terlalu berhati-hati dan prejudis dengan sesuatu maklumat yang disebarkan oleh ‘wartawan ekspres’ ini.
Misalnya sekarang tengah kecoh dengan tindakan wartawan ekspres yang menyebarkan terlalu banyak berita palsu tentang wabak koronavirus sehingga mencetuskan panik dalam kalangan anggota masyarakat. Walaupun pihak berkuasa mula membuat tangkapan dan telah memberi amaran keras namun ternyata masih ramai yang degil dan terus sebarkan berita palsu. Walaupun kebanyakkan daripada penjenayah siber ini akan memberikan pelbagai alasan apabila dibawa ke muka
pengadilan bagi menidakkan perbuatan mereka seperti akaun dikongsi bersama banyak pihak, akaun digodam serta tidak sedar akaun diguna pihak ketiga namun apakah kita mahu membiarkan perkara ini berterusan?
Oleh kerana ‘wartawan ekspres’ seperti ini sudah mula memudaratkan dan mencetuskan pelbagai provokasi dan ketegangan dalam kalangan masyarakat maka kita menyokong penuh apa jua tindakan tegas yang akan diambil oleh pihak
berkuasa termasuk menilai semula hukuman yang ada supaya boleh dijatuhkan hukuman yang lebih berat dan setimpal sebagai pengajaran kepada pelaku dan peringatan serta amaran kepada yang lain.
Dalam pada itu kita juga perlu sedar betapa semuanya bermula daripada sikap, tingkah laku dan akhlak individu itu sendiri. Oleh kerana kita tidak mungkin mampu menyekat sepenuhnya kebanjiran ‘wartawan ekspres’ ini maka apa yang kita harapkan agar mereka akan sedar, lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan beretika dalam menggunakan media sosial. Jangan sesekali menyalah guna media sosial sehingga boleh mengganggu keselamatan negara, ketenteraman awam, keharmonian hidup masyarakat majmuk serta mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat kita. Jujurnya ada kala penulis begitu merindukan zaman dunia tanpa media sosial! – MalaysiaGazette
NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
TIMBALAN PENGARAH
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA