KUALA LUMPUR – Seorang wanita telah dituduh di mahkamah hari ini manakala dua individu lagi bakal dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi dalam kes penularan berita palsu berkaitan Novel Koronavirus (2019 n-CoV).’
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, mereka adalah sebahagian daripada 13 kertas siasatan yang telah dibuka dan diteliti polis dalam soal berita palsu setakat ini.
“Saban hari kita sudah memberi amaran dan nasihat supaya jangan fitnah perkara yang menggugat ketenteraman awam, namun masih berlaku maka kita membuat keputusan tidak ada lagi nasihat untuk mereka yang berkenaan.
“Kita sudah dapat kelulusan Peguam Negara untuk menuduh mereka yang suka sangat menular perkara yang fitnah, tidak betul dan sebagainya.
“Daripada 13 kertas siasatan kita telah buka, tiga individu telah dapat kelulusan untuk menuduh di mahkamah, jadi mereka yang degil lagi teruskan aktiviti (fitnah) anda kalau ingin dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik OP Selamat Tahun Baru Cina 16/2020 di Dewan Theatrette, Bukit Aman pagi ini.
Dalam perkembangan sama, tambah beliau polis tidak berdepan masalah untuk menyiasat sebarang penularan berita pelik yang begitu pantas disebarkan di seluruh negara kerana polis menerima maklumat pantas sehingga boleh bertindak tangkas menyelesaikannya.
Katanya pagi tadi seorang telah didakwa di mahkamah dan dua lagi individu iaitu masing masing dari Kuala Terengganu dan Sandakan bakal didakwa tidak lama lagi dalam tempoh terdekat.
“Yang lain tunggu akan didakwa tidak lama lagi, saya tak nak cakap lagi penat nasihat semua. tunggu dakwa di mahkamah.
“Baki lagi (10 kertas siasatan) kita sedang berurusan dengan Jabatan Peguam Negara dan saya tidak boleh memberitahu jangka masa bila kerana kebiasaannya kes ini akan pergi balik (PDRM ke AG) bagi kita mendapatkan pendakwaan yang mantap,” tegasnya lagi.
Pagi tadi bekas wartawan yang dikenali sebagai Ibu Yati telah dituduh di mahkamah atas kesalahan penularan berita palsu berkaitan koronavirus sebelum dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.-MalaysiaGazette