KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Senarai Semak Tadbir Urus Korporat Mesyuarat Agung Tahunan untuk Pemegang Saham untuk menggalakkan perbincangan yang bermakna antara para pemegang saham dan lembaga pengarah ketika mesyuarat agung tahunan (AGM).
Senarai Semak AGM CG dibangunkan dengan kerjasama Majlis Pelabur Institusi Malaysia dan Badan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti.
Mesyuarat agung merupakan platform penting bagi pengarah dan pengurusan kanan untuk mengadakan pembabitan bersama para pemegang saham dalam memudahcarakan pemahaman terhadap
perniagaan, tadbir urus dan prestasi syarikat.
Oleh itu, hasil yang diinginkan daripada Amalan 12 Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia adalah para pemegang saham berupaya mengambil bahagian, mengadakan pembabitan bersama lembaga dan pengurusan kanan dengan berkesan dan membuat keputusan mengundi yang bermaklumat ketika menghadiri Mesyuarat Agung.
“Pemegang saham memainkan peranan penting dalam memacu tingkah laku korporat yang bertanggungjawab dan AGM merupakan salah satu platform di mana mereka boleh membangkitkan isu-isu penting untuk perbincangan atau mencari penjelasan daripada lembaga dan pengurusan,” kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar dalam kenyataannya di sini.
Menurutnya, Senarai Semak AGM CG bertujuan membimbing pemegang saham mengenai isu-isu penting yang perlu mereka pertimbangkan atau utarakan ketika AGM sebelum mereka menjalankan hak mengundi
Ini terutamanya berkaitan dengan resolusi yang biasanya dibentangkan di AGM seperti pelantikan para pengarah, kelulusan yuran pengarah dan pelantikan juruaudit.
Ia juga mengingatkan para pemegang saham untuk membincangkan bersama lembaga pengarah dalam isu kritikal lain termasuk langkah-langkah kelestarian dan pencegahan rasuah.
Tambahnya, walaupun Senarai Semak AGM CG dibangunkan untuk para pemegang saham, pihak berkepentingan lain seperti pengguna dan bakal pelabur adalah digalakkan untuk menggunakan senarai semak untuk memahami dan menilai prestasi, dasar dan amalan syarikat.
Penerbitan senarai semak AGM CG merupakan salah satu penyampaian di bawah Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC (2017-2020) SC.
Ia boleh dimuat turun di laman sesawang SC melalui pautan https://www.sc.com.my/bm/kawal-selia/tadbir-urus-korporat. – MalaysiaGazette