KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta rekod jumlah tontonan tertinggi iklan perayaannya selepas iklan Tahun Baru Cina TNB bertajuk Reality not Virtual dengan memperoleh 25 juta tontonan sehingga 3 Februari lepas.
Meraih lebih daripada 612,000 engagement di laman sosial, filem web itu yang menggabungkan unsur-unsur tradisi dengan teknologi futuristik muncul sebagai filem web TNB dengan jumlah perkongsian organik tertinggi berjumlah tujuh juta tontonan.
Video ini menduduki tempat pertama dalam kalangan iklan Tahun Baru Cina Malaysia di YouTube, Facebook, Twitter dan Media Bersama (video dikongsi secara organik oleh netizen).
“Kami gembira untuk berkongsi bahawa Reality Not Virtual telah diterima dengan baik oleh orang ramai. Terima kasih kepada para pelanggan dan para pengikut (follower) iklan perayaan TNB,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mengatakan bahawa rekod tontonan tersebut telah meningkatkan standard iklan perayaan TNB seterusnyas memberi cabaran baru kepada TNB untuk menghasilkan filem-filem perayaan di masa depan.
“Sememangnya akan ada harapan yang tinggi bagi iklan perayaan kami pada masa hadapan. Kami berharap momentum ini dapat diteruskan menerusi filem-filem berunsurkan jenaka dengan mesej bermakna yang diterapkan secara tidak langsung,” katanya.
Filem web itu telah dipaparkan bersama filem web antarabangsa Tahun Baru Cina lain dari Apple, Coca Cola dan Samsung oleh Ads of the World, arkib pengiklanan dan komuniti yang memaparkan iklan kreatif dari seluruh dunia.
Filem empat minit itu sarat dengan jenaka mengetengahkan mesej begitu mendalam iaitu perayaan lebih bermakna dirai bersama dengan mereka yang penting – keluarga.
Filem web tersebut dimuatnaik di saluran YouTube rasmi TNB (youtube.com/TENAGAofficial) pada 17 Januari. Versi komersial filem itu berdurasi 60 saat dimainkan di kaca televisyen bermula 23 Januari lalu.- MalaysiaGazette