Home Utama Pesawat pecah tiga selepas tergelincir landasan, 3 maut

Pesawat pecah tiga selepas tergelincir landasan, 3 maut

Pesawat Pegasus Airlines yang tergelincir daripada landasan di Lpaangan Terbang Sabiha Gokcen, Istanbul.

ISTANBUL – Tiga orang terbunuh manakala 179 penumpang cedera apabila sebuah pesawat Pegasus Airlines pecah kepada tiga bahagian setelah tergelincir pada penghujung landasan Lapangan Terbang Sabiha Gokcen yang basah.

Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca memberitahu wartawan bahawa tiga orang meninggal dunia di hospital selepas insiden yang berlakju pada waktu malam namun tiada sesiapa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Koca berkata, terdapat 183 penumpang, termasuk anak kapal, berada dalam pesawat yang tiba dari Izmir, barat Turki, lapor Reuters.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya berkata, mereka yang cedera menerima rawatan di 18 buah hospital di kawasan tersebut.

“Pesawat tersebut tidak dapat berhenti di landasan berikutan keadaan cuaca yang buruk dan tergelincir kira-kira 50 hingga 60 meter,” kata Yerlikaya kepada pemberita.

Pesawat Boeing, B737-86J, pecah tiga apabila ia jatuh kira-kira 30 hingga 40 meter di hujung landasan yang basah berikutan hujan lebat, kata Yerlikaya.

Rakaman video menunjukkan pesawat tersebut mendarat pada kelajuan tinggi.

Rakaman media Turki menunjukkan badan dan bahagian ekor pesawat tersebut pecah.

Para penumpang dibawa keluar apabila pesawat berhenti di atas tanah berhampiran landasan.

Terdahulu, rakaman menunjukkan bahagian luar pesawat terbakar dan dipadamkan oleh anggota bomba, lapor agensi berita, Anadolu.

Turkish Airlines membatalkan semua penerbangan ke Lapangan Terbang Sabiha Gokçen. – Agensi