KUALA LUMPUR- Tiada kejadian penularan wabak 2019-nCoV yang berlaku di pusat pemborong GM Klang seperti yang tular di media-media sosial sejak semalam.
Syarikat tersebut dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, perkara tersebut dipercayai bermula daripada pengumuman yang telah dibuat oleh bahagian Khidmat Pelanggan GM Klang berhubung langkah-langkah pencegahan virus berkenaan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walaubagaimana pun, niat baik itu disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana telah terdapat kes coronavirus di GM Klang.
“Sebagai salah satu badan korporat di Malaysia, GM Klang amat memandang serius mengenai penyebaran berita palsu ini kerana ianya telah mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti-aktiviti perniagaan di sini.
“Kami menyarankan agar orang ramai tidak terpedaya dengan berita-berita palsu ini dan sila rujuk kepada saluran-saluran yang dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita yang diterima.
“GM Klang juga tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada mana-mana individu yang telah menyebarkan berita tidak benar ini,” katanya.
Susulan itu, GM Klang telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan penyebaran berita palsu tersebut supaya siasatan dan tindakan susulan dapat dilakukan kepada pesalah-pesalah siber berkenaan.- MalaysiaGazette