Home Nasional Pembelajaran Sains dalam Bahasa Inggeris mudahkan seseorang fahami arahan – Tun M

Pembelajaran Sains dalam Bahasa Inggeris mudahkan seseorang fahami arahan – Tun M

Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysiadi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata pembelajaran dan pemahaman Sains dalam Bahasa Inggeris akan lebih memudahkan seseorang memahami arahan yang diberikan memandangkan penggunaan bahasa antarabangsa itu kerap dan meluas digunakan dalam sektor industri.

Perdana Menteri berkata, meskipun Sains boleh diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, perkataan yang digunakan bukannya Bahasa Inggeris yang biasa diucapkan.

“Kita boleh terjemah ke bahasa kita tetapi pendekatan kita berbeza dalam bidang ini. Sains adalah hasil dari hasrat menentukan sesuatu yang sebenar.

“Terjemahan Sains dalam Bahasa Melayu mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar yang telah dijelaskan awal secara terperinci dan boleh difahami iaitu dalam BI (Bahasa Inggeris).

“Ilmu Sains datang kepada kita, kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Kita boleh terjemah kepada bahasa kita. Tetapi perkataan-perkataan yang diguna bukanlah bahasa Inggeris biasa. Terjemahan kepada bahasa kita mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.

“Bahasa yang kerap diguna dalam industri biasanya Bahasa Inggeris dan tentulah sukar bagi mereka yang tidak faham Sains dalam Bahasa Inggeris memahami arahan yang diberi.

“Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam Bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi (Persidangan) sains antarabangsa kerap diadakan. Biasanya Bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam Bahasa Inggeris, Sains, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Dr. Mahathir berkata, Sains lebih suka mencari sebab yang sebenar.

Sebagai contoh, katanya, sesuatu penyakit dikenal pasti disebabkan oleh kuman, virus, tekanan darah atau ketumbuhan dan dengan itu penyelidikan boleh dilakukan dan ubat boleh dikenalpasti.

“Mentaliti yang berpegang kepada kuasa ghaib mungkin mengubat dengan cara membakar kemenyan dan menghembus dan kita perlu berdoa tetapi ingatlah Tuhan tidak akan memakbulkan permintaan kita jika kita tidak berusaha sendiri terlebih dahulu. Usaha kita tentulah dengan diasaskan kepada yang benar.

Tambah Dr. Mahathir, sebagai seorang Melayu, beliau sememangnya menyayangi bangsa dan Bahasa Melayu tetapi pertimbangan perlu diberikan kepada kemajuan bangsa.

“Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.

“Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata “Sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan”. Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyifatkan Sains bukan ilmu yang statik seperti Geografi dan Sejarah, sebaliknya ada saja perkara baharu setiap hari.

“Adalah amat sukar untuk kita memahami, menterjemah dan menafsirkannya ke dalam bahasa Melayu mengenai sains yang diterangkan dalam bahasa Inggeris adalah amat sukar.

“Negara juga tidak mungkin mempunyai pakar sains yang akan menterjemahkan, berpuluh-puluh kertas hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang tiap hari dan jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu, kita akan ketinggalan ke belakang kerana tidak mengguna ilmu (sains) ini. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baharu yang dicipta,” ujar beliau. – MalaysiaGazette