Home Nasional Warga Kanada di HKL bebas koronavirus

Warga Kanada di HKL bebas koronavirus

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan warga Kanada yang dilapor pengsan di lot parkir semalam bebas  koronavirus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, remaja berusia 17 tahun yang ditempatkan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu sudah dibenarkan keluar selepas ujian mendapatinya negatif wabak berkenaan.

“Ini adalah berita gembira. Dia bukan disebabkan oleh koronavirus dan telah pun dibenar pulang,” katanya pada sidang media perkembangan koronavirus di sini hari ini.

Semalam tular di media sosial sekeping gambar sepasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  dan anggota polis berada di lokasi tersebut.

Remaja itu dipercayai pengsan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Menara Berkembar sebelum ambulans HKL dikejarkan untuk mengambil pesakit itu.

Sementara itu, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dalam kenyataannya hari ini menafikan insiden berkenaan berlaku di fasilitinya.

Menjelang  perayaan Thaipusam yang disambut masyarakat beragama Hindu hujung minggu ini, Dzulkefly menasihatkan agar pengunjung mengambil langkah pencegahan awal.

Ia termasuk mengutamakan kebersihan diri, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pencuci tangan selain memakai penutup mulut bagi mengelakkan jangkitan koronavirus.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri sahkan warga Kanada suspek koronavirus dirujuk ke HKL