PUTRAJAYA – Sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengalami sebarang kekurangan fasilitasi dan keperluan perubatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebaliknya menekankan kementerian tersebut kini berada dalam fasa pembendungan koronavirus.
Jelas beliau pda fasa itu, KKM akan mengesan dan menguji lebih ramai individu yang mempunyai kontak rapat khususnya dengan kes yang telah direkodkan positif sebelum ini.
“Kita belum masuk ke tahap mitigasi, antaranya jika berlaku situasi tidak cukup katil di hospital, tidak cukup makmal untuk ujian atau fasiliti hospital kita tidak mampu menampung, kita harap kita tidak akan jumpa situasi sebegini.
“Ini boleh menyumbang kepada lebih banyak kes positif direkodkan. KKM komited dan proaktif bagi memastikan tidak ada yang tertinggal,” katanya ketika sidang media perkembangan harian virus tersebut di sini hari ini.
Menyedari penularan virus koronavirus menarik minat ramai pakar perubatan seluruh dunia yang membuat kajian namun katanya sehingga kini belum terhasil dapatan tentang vaksin yang boleh memeranginya.
Bagaimanapun Dzulkefly berharap agar virus yang mula menular di Wuhan itu akan dapat ditangani dan akhirnya hanya menjadi demam bermusim sahaja dan tidak akan berpanjangan.
“Saya yakin koronavirus akan mencetuskan berbagai kajian dan harap dikenalpasti vaksinnya dalam masa terdekat. Kita akan mengenali koronavirus suatu hari ini kita harap ia akan menjadi antara seasonal flu.
“Walaupun saya tidak boleh anggap ini terlalu mudah tetapi pakar menyebutnya begitu, tapi saya berharap ia akan pergi (berlalu) seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Influenza A (H1N1)” katanya lagi sambil berharap agar ada pihak yang berjaya mengenalpasti vaksin koronavirus dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette