KUALA NERANG – Pembangunan projek Bandaraya Getah Kedah (KRC) yang dibangunkan di Padang Terap berpotensi menarik pelaburan bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 14,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Kerajaan negeri yakin projek tersebut dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi rakyat di negeri ini dan menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata projek itu akan menggalakkan permintaan kepada getah mentah untuk penghasilan produk bernilai tinggi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kita nak bahan getah ini digunakan untuk produk bernilai tinggi. Sebaik-baiknya, kerja-kerja nilai tambah itu diusahakan di Malaysia, lebih khusus lagi di Kedah Rubber City,” katanya pada sidang media semasa lawatan di tapak projek KRC di Ladang Bukit Ketapang dekat sini, hari ini.
Mengenai perkembangan projek yang memfokuskan kepada tujuh kluster utama itu, Mukhriz berkata setakat ini, kerja asas dan pembinaan infrastruktur dengan kos RM120 juta sedang dilaksanakan bagi fasa pertama manakala fasa kedua pembangunan yang bernilai RM270 juta dijangka bermula pada 2022.
Katanya tujuh kluster utama itu merangkumi produk lateks termaju, komponen getah automotif, produk kejuruteraan getah dan bioteknologi.
“Sebenarnya Malaysia paling ke depan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor getah ini. Kita ada banyak institusi penyelidikan yang memberikan tumpuan kepada getah. Sekarang ini perlu supaya semua penemuan R&D itu diterjemahkan dalam bentuk produk.
“Kita mengadakan tempat ini (KRC) untuk menggalakkan lebih banyak lagi pelabur menempatkan kilang mereka menggunakan R&D yang mereka sendiri bawa atau yang kita ada di sini untuk diaplikasikan dalam bentuk produk yang boleh dipasarkan,” katanya.- BERNAMA