Home Akhbar Cina Vui Keong yakin penubuhan IPCMC akan dilulus

Vui Keong yakin penubuhan IPCMC akan dilulus

Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dapat diluluskan dengan wujudnya Jawatankuasa Aduan ke atas agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, aspek yang paling menimbulkan rasa tidak puas hati polis adalah kerajaan mewujudkan badan yang menyasarkan polis samata-mata dan bukannya semua agensi penguatkuasaan.

Katanya, dengan penubuhan Jawatankuasa Aduan, pihak polis dipercayai dapat menerima penubuhan IPCMC.

“Selain mengambil berat kuasa mereka untuk mengemukakan rayuan, polis juga membantah IPCMC kerana ia hanya menyasarkan polis.

“Polis mempertikaikan kenapa agensi lain seperti Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dikenakan tindakan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Vui Keong menjelaskan, kerajaan pada mulanya mahu menubuhkan IPCMC kerana terdapat banduan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan dan ada juga yang maut kerana polis membuka tembakan semasa mengadakan operasi penguatkuasaan.

Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun telah berkembang kepada situasi baharu dengan polis meminta bidang kuasa IPCMC diperluaskan untuk meliputi semua agensi penguatkuasaan.

Katanya, polis juga berharap IPCMC dapat menjaga kebajikan semua anggota polis termasuk melihat balai dan tempat tinggal polis yang berkeadaan buruk.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Aduan bagi memantau aduan membabitkan 20 agensi penguatkuasaan.

Penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan pemantauan ke atas agensi berkenaan dapat diteruskan seiring dengan pemantauan ke atas anggota polis melalui IPCMC yang dinaik taraf daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Jawatankuasa Aduan akan dikendalikan satu agensi kerajaan yang akan ditentukan kelak. – MalaysiaGazette