Home Dunia Doktor yang beri amaran tentang bahaya koronavirus meninggal dunia

Doktor yang beri amaran tentang bahaya koronavirus meninggal dunia

Li Wenliang. foto Agensi

BEIJING – Seorang doktor yang pernah mengeluarkan amaran tentang bahayanya koronavirus disahkan meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Dr Li Wenliang disahkan positif koronavirus ketika bertugas di Wuhan Central Hospital.

Beliau pernah menghantar amaran berjaga-jaga kepada rakan-rakannya pada 30 Disember lalu tetapi polis telah memintanya berhenti membuat kenyataan palsu.

Sebelum ini wujud percanggahan laporan tentang kematian Dr Li tetapi People’s Daily melaporkan dia mati pada jam 2.58 pagi pada hari Jumaat (waktu tempatan) berbanding beberapa laporan media yang menyatakan Dr Li meninggal dunia pada awal hari Khamis.

Dr Li, 34, pada mulanya diisytiharkan meninggal dunia pada pukul 21:30 waktu tempatan dan berita itu mencetuskan gelombang besar di Weibo, medium media sosial yang setara dengan Twitter.

The People’s Daily menghantar tweet dengan menyifatkan kematian Dr Li telah mencetuskan “kesedihan negara”.

Bagaimanapun kemudian Global Times mengatakan Dr Li telah diberikan rawatan mesin sokongan dan berada dalam keadaan kritikal.

Wartawan dan doktor yang berada di tempat kejadian memaklumkan pegawai kerajaan telah campur tangan dalam kematian Dr Li.

Lantaran itu organisasi media telah diberitahu untuk menukar laporan dengan mengatakan Dr Li masih dirawat.

Media kemudian melaporkan masa baru kematian Dr Li:

Dr Li, seorang doktor mata pernah berkongsi kisahnya menerusi Weibo dari katil hospital sebulan selepas menghantar amaran mengenai koronavirus kepada rakan-rakan setugasnya.

Katanya, dia telah merawat tujuh kes virus yang didakwanya seperti SARS – virus yang membawa kepada wabak global pada tahun 2003.

Dalam mesej yang dihantar kepada rakan-rakannya pada 30 Disember lalu, Dr Li meminta mereka memakai pakaian pelindung untuk mengelakkan jangkitan.

Empat hari kemudian dia dipanggil ke Biro Keselamatan Awam, di mana Dr Li diberitahu untuk menandatangani surat.

Dalam surat itu dia dituduh “membuat komen palsu” yang “mengganggu ketertiban sosial”.

Beliau adalah salah seorang daripada lapan orang yang disiasat polis kerana “menyebarkan khabar angin” tetapi pihak berkuasa meminta maaf kepada Dr Li kemudiannya.

Dalam catatan di Weibo, Dr Li menerangkan bagaimana pada 10 Januari dia mula batuk dan keesokan harinya dia demam dan dimasukkan ke hospital dua hari kemudian.

Dia didiagnosis dengan koronavirus pada 30 Januari. – MalaysiaGazette