LONDON – Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling terpaksa diketepikan bertemu West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad ini selepas mengalami kecederaan hamstring.
Lebih memburukkan keadaan, dia kini bergelut dengan masa untuk kembali pulih menjelang pertembungan dengan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara pada hujung bulan ini.
Sterling cedera ketika City tewas kepada Tottenham Hotspur dan kelab itu mengesahkan pemain antarabangsa England berkenaan terlepas aksi perlawanan hujung minggu ini.
“Kami di City mengharapkan @sterling7 kembali pulih sepenuhnya secepat mungkin,” kata City menerusi laman Twitter mereka.
Pengurus City, Pep Guardiola berharap Sterling dapat kembali dalam masa terdekat kerana pasukannya itu bakal menempuh jadual perlawanan yang padat selepas aksi bertemu West Ham.
Mereka akan berkunjung ke Stadium King Power untuk aksi bertemu Leicester City pada 22 Februari dan mereka akan berlepas ke Sepanyol bagi menentang Real dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara empat hari kemudian.
City turut mengharapkan sentuhan Sterling bagi membantu pasukan mengharungi aksi final Piala Liga menentang Aston Villa pada 1 Mac depan.
Pemain berusia 25 tahun itu yang dibawa keluar pada minit ke-85 ketika menentang Spurs adalah salah seorang penjaring terbanyak City musim ini dengan dia merekodkan 20 gol dalam semua kejohanan. – MalaysiaGazette