Home Nasional Suspek kes tembak di Pulau Gaya dikenali sebagai Kacang@ Munding

Suspek kes tembak di Pulau Gaya dikenali sebagai Kacang@ Munding

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA KINABALU, – Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, identiti suspek yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak parah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya telah dikenalpasti.

Beliau berkata, suspek berkenaan dikenali sebagai Kacang@ Munding, 30-an dan motif di sebalik kejadian itu dipercayai disebabkan masalah peribadi antara suspek dan mangsa.

“Berdasarkan siasatan, sebelum kejadian itu, suspek telah mengeluarkan perkataan ugutan kepada mangsa berusia 36 tahun itu.

“Motif masih dalam siasatan namun kemungkinan besar ia lebih bermotifkan masalah peribadi disebabkan sebelum kejadian tembakan itu, suspek mengugut mangsa dengan perkataan ‘jika kau berani, keluar’ sebelum suspek melepaskan tembakan,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya percaya suspek berkenaan masih berada di sekitar Pulau Gaya dan usaha untuk menjejaki suspek sedang giat dijalankan.

“Operasi bersepadu sedang dilakukan dengan kerjasama semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM).

“Sejak kejadian itu lagi kita telah menjalankan operasi bersepadu… InsyaAllah dengan kerjasama semua elemen ini, polis akan dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek  agar memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Kota Kinabalu.

Dalam kejadian Rabu lepas, seorang lelaki dan dua kanak-kanak berusia 10 dan tiga tahun parah selepas terkena tembakan yang disyaki dilepaskan seorang lelaki tidak dikenali di atas jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. – Bernama