Home Nasional Jangan ambil mudah impak koronavirus terhadap ekonomi

Jangan ambil mudah impak koronavirus terhadap ekonomi

Datuk Seri Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA melahirkan rasa bimbang dengan kenyataan Menteri Kewangan yang mendakwa Malaysia tidak mempunyai risiko kemelesetan ekonom meskipun kecemasan global berhubung penularan wabak koronavirus semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kebimbangan itu kerana Kementerian Kewangan mungkin melihat impak ekonomi terhadap koronavirus adalah ringan ketika sekatan penutupan kawasan dan sekatan perjalanan dilaksanakan di China.

Tegas beliau, ramai penganalisis ekonomi dan ketua-ketua negara lain telah memberi amaran bahawa kesan ekonomi dari virus koronavirus akan jauh lebih besar daripada wabak SARS pada tahun 2002/2003.

“Tiada siapa yang boleh mempertikaikan bahawa ekonomi Malaysia semakin teruk sejak pilihan raya PRU14 dan kami sudah menyatakan pasaran saham tempatan merekodkan prestasi terburuk di dunia tahun lalu.

“Sekarang ekonomi negara kita semakin memburuk ekoran ancaman yang lebih besar yang akan menjejaskan hampir semua industri dan sektor ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh sebab itu, katanya, MCA membantah hasrat kementerian berkenaan yang mahu mengitar semula pakej rangsangan ekonomi yang pada awalnya dirancang untuk menangani kesan perang perdagangan Amerika Syarikat-China untuk digunapakai semasa berdepan dengan virus ini.

“MCA menolak pendekatan ini kerana kesan akibat kecemasan virus jauh berbeza dengan perang perdagangan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, Kementerian Kewangan mesti memastikan sebarang rangsangan mesti dibuat dengan kukuh untuk menangani ancaman ekonomi negara akibat serangan wabak koronavirus.

“Jangan mengambil mudah kesejahteraan ekonomi dan mata pencarian rakyat Malaysia yang sudah pun tidak mempunyai keyakinan terhadap pengurusan ekonomi Kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Malaysia tiada risiko kemelesetan ekonomi- Lim Guan Eng