Home Nasional Koronavirus: 1 kes baharu sah positif

Koronavirus: 1 kes baharu sah positif

Dr. Dzulkefly Ahmad. foto SYAFIQ AMBAK, 07 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pertambahan satu lagi kes baharu 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) disahkan positif di negara ini sekaligus menjadi jumlah keseluruhan sebanyak 15 kes sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes tersebut membabitkan seorang pelancong wanita warganegara China berasal dari Wuhan.

Jelas beliau, mangsa yang berusia 59 tahun itu bersama suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Januari lalu.

“Mereka kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari lalu dan dia hanya berada di tempat penginapannya pada kebanyakan masa.

“Dia mula mengalami gejala demam pada 26 Januari lalu namun tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini wabak 2019-nCoV di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly memberitahu, mangsa dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari lalu dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou.

Namun menurut beliau, wanita itu telah menangguhkannya kerana kurang sihat.

Bagaimanapun ujarnya, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

“Pada 5 Februari lalu, dia masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menerima makluman dari pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari sama dan dia telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif semalam.

“Wanita itu kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil.

“Suaminya yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama dan bagaimanapun tidak bergejala dan sampel telah diambil dan menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, dengan pertambahan satu kes baharu itu, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 15 kes membabitkan tujuh kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), enam kes dalam kalangan hubungan rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, 11 kes adalah warganegara China dan empat orang adalah warganegara Malaysia.

“Sehubungan itu, dari 10 Januari lalu sehingga semalam pukul 10 pagi, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 313 orang apabila 198 adalah warganegara Malaysia, 107 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh, Indonesia dan Thailand.

“Tujuh kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 297 adalah negatif 2019-nCoV dan 9 kes masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1).

“Sejumlah 19 hubungan rapat yang baharu kepada kes 2019-nCoV dilaporkan sehingga semalam pukul 10 pagi.

“Oleh itu, jumlah kumulatif hubungan rapat kepada kes 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun ini sehingga hari ini adalah seramai 96 orang kesemuanya apabila enam orang adalah positif, 74 orang adalah negatif dan 16 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya. – MalaysiaGazette