PUTRAJAYA – Wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) terus mengalami peningkatan kes di negara ini selepas seorang lagi pesakit disahkan positif, sekali gus menjadi jumlah keseluruhan sebanyak 16 kes sehingga hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kes tersebut membabitkan seorang pelancong warga negara China berusia 67 tahun.
Jelas beliau, mengambil kira hubungan rapat ke kes itu, mangsa telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana dan menjalani Pemeriksaan dan Pemantauan Perintah.
“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV telah dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Februari lalu.
“Beliau kini telah dimasukkan ke isolasi wad di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Wan Azizah menambah, dengan pertambahan satu kes baharu itu jumlah kumulatif positif jangkitan 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini melibatkan empat orang rakyat tempatan dan 12 kes warga China.
Beliau turut memberitahu, kes keempat, sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga selepas ujian pertama dan kedua adalah negatif.
“Untuk makluman, kes ini telah menerima rawatan dengan menggunakan ubat antiretroviral.
“Ubat antiretroviral adalah ubat yang digunakan untuk mengubati pesakit yang dijangkiti oleh virus immunodeficiency manusia (HIV).
“Kes keempat ini mempunyai infeksi radang paru-paru dan pihak hospital telah memulakan rawatan ubat antiretroviral ke atasnya.
“Kes didapati memberikan respons yang baik kepada ubat ini selepas dua sampel klinikal telah diambil berturut-turut dan hasil ujian pengesanan ulangan infeksi 2019-nCoV kes ini dilaporkan negatif.
“Beliau akan dibenarkan pulang selepas keputusan ujian ulang ketiga diperolehi dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette
Selagi tidak disekat kedatangan pembawa KUMAN MAUT ini selagi itulah masalah tidak selesai. Rakyat hidup dalam keadaan takut, gundah gulana!
Kah..kah..kah..