Home Politik Syed Saddiq enggan layan tuduhan Armada lemah di bawah kepimpinannya

Syed Saddiq enggan layan tuduhan Armada lemah di bawah kepimpinannya

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

GEORGE TOWN – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan melayan sebarang dakwaan berhubung kelemahannya dalam mengemudi sayap itu.

Beliau sebaliknya mengambil sikap terbuka dengan pandangan tersebut.

Awani melaporkan Ahli Parlimen Muar itu turut mengalu-alukan kesediaan beberapa individu yang menyatakan hasrat bertanding bagi merebut jawatan Ketua Armada dalam pemilihan parti nanti.

“Kita perlu meraikan demokrasi dalam parti dan saya alu-alukan (Muhammad) Muzzammil  dan Razalif (Mohd Zain) untuk bertanding dan bertanding secara sihat.

“Saya tidak akan sesekali memperkecilkan pihak lawan kerana saya nak membuktikan pemilihan ini adalah persediaan untuk kita memajukan Bersatu untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian selepas merasmikan perlawanan persahabatan bola sepak antara Mutiara United Football Club & Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang dan Majlis Pelancaran LABPP Grassroots 2020 di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada Ahad.

Setakat ini, Syed Saddiq bakal dicabar oleh dua individu iaitu Felo Akademik Universiti Utara Malaysia, Muzzammil Ismail dan seorang ahli perniagaan Razalif Mohd Zain dalam pemilihan Armada nanti.