Oleh NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
PAS dilaporkan akan membawa usul undi percaya pada persidangan Dewan Rakyat, bulan depan bagi menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Seingat penulis jika usul ini benar-benar berlaku, inilah agaknya kali pertama pihak pembangkang membawa usul menyokong seorang Perdana Menteri dari blok kerajaan untuk terus kekal memimpin. Lebih menarik lagi Pas juga kemungkinan besar akan berpakat dengan Barisan Nasional (BN) dalam membawa usul ini,sekali gus bakal melakar satu lagi momen penting dalam sejarah politik negara ini.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, keputusan ini diambil Pas bagi meredakan keadaan dan suhu politik negara susulan kononnya wujud rasa tidak
puas hati terhadap kepemimpinan Perdana Menteri namun sehingga kini tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan di Parlimen.
Justeru kesemua 18 Ahli Parlimen Pas dikatakan akan meneruskan sokongan terhadap kepemimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal. Tindakan nekad Pas ini sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan kerana Pas dari awal lagi kelihatan sangat konsisten dalam hal ini.
Sejak awal lagi mereka menyatakan sokongan terhadap Mahathir dan dengan tegasnya mahukan beliau meneruskan tugas sehingga habis penggal.
Justeru usul ini kelihatan lebih kepada menzahirkan sokongan dan komitmen Pas itu tesebut.
Namun secara peribadi penulis berpandangan usul itu akan membuka laluan dan bakal merungkai beberapa persoalan penting lain yang membelenggu dan menjadi tanda tanya dalam kalangan khalayak, ahli politik dan juga pemerhati dan penganalisis politik selama ini.
Kita sedar isu peralihan kuasa dan kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara terus menjadi perdebatan dan topik perbualan hangat sejak hari pertama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.
Rakyat diberi gambaran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon pengganti yang akan ambil alih jawatan Perdana Menteri, cuma tarikh sebenar peralihan kuasa itu belum dimuktamadkan. Dan peralihan kuasa itu dilaporkan akan berlaku sebelum PRU-15. Justeru jika Pas membawa usul Mahathir kekal hingga habis penggal sudah semestinya senario ini akan menyaksikan satu lagi episod penting dalam politik negara.
Mudahnya, pembangkang mahu Mahathir kekal, sebaliknya PH pula memutuskan Mahathir kena serah kuasa kepada Anwar. Satu situasi yang cukup menarik untuk diteliti.
Jadi Parlimen bakal menjadi penentu sama ada Mahathir boleh dan perlu kekal sehingga habis penggal atau sudah boleh memikirkan tarikh spesifik penyerahan kuasa kepada Anwar.
Harus diingat seorang Perdana Menteri itu mestilah terdiri dalam kalangan individu yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Dan menariknya pada kedudukan semasa PH tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Jadi, sama ada Mahathir kekal atau Anwar ganti masih bergantung kepada undi dan sokongan pembangkang.
Usul yang bakal dibawa oleh Pas juga bakal merungkai misteri apakah betul Mahathir mempunyai sokongan penuh anggota PH sendiri di samping menguji sokongan yang telah dizahirkan oleh pembangkang selama ini.
Umum sedia maklum isu kerajaan pintu belakang, undi tidak percaya terhadap Mahathir serta congakan masing-masing ada sokongan majoriti terus menjadi topik perbincangan hangat di seluruh negara.
Namun sehingga sekarang belum ada apa-apa tindakan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang menjurus ke arah merealisasikan cakap-cakap kedai kopi tersebut.
Masing-masing berani cakap belakang sahaja dan mengambil jalan tunggu dan lihat di samping terus memasang strategi di belakang tabir.
Maka usul ini perlu dilihat sama ada menjadi kelebihan dan peluang terbaik kepada satu kelompok
atau boleh disifatkan bakal memberikan masalah dan menutup peluang satu lagi kelompok.
Ringkasnya, kita boleh melihat siapa akan timbul dan siapa akan tenggelam umpama untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Pada masa yang sama usul ini juga akan membuka peluang untuk kita menyaksikan keberanian setiap Ahli Parlimen dalam menyatakan pendirian dan menzahirkan keputusan.
Jika selama ini kelihatan ada yang hanya berani cakap belakang, ada yang cuba play safe, ada yang umpama lalang dan ramai juga yang sekadar menjadi penonton dan tidak mahu masuk campur, namun usul ini menyediakan ruang terbuka kepada mereka untuk menjadi ‘anak jantan’ dengan bertindak mengikut kemahuan hati secara jujur dan ikhlas demi kelangsungan dan kestabilan politik negara.
Ingat apa jua pilihan dan keputusan kita nanti, ianya bakal memberi impak yang sangat besar terhadap rakyat dan negara ini.
Jadi secara jujurnya penulis kagum dengan keberanian dan tindakan nekad Pas ini yang cukup konsisten dalam menzahirkan sokongan terhadap Mahathir.
Bagaimanapun agenda disebaliknya, kita perlu menghormati pendirian tegas mereka.
Diharap usul ini akan diterima dan dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat sebab ianya sangat penting dalam menentukan hala tuju negara kita kerana kita tidak boleh terus membiarkan kemelut jawatan Perdana Menteri mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara yang mempunyai kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Semoga usul ini dapat direalisasikan dan melakar satu lagi sejarah penting dalam sistem politik dan demokrasi negara ini. – MalaysiaGazette
— NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia