CYBERJAYA – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak memahami mengapa Pas merancang untuk membawa usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau ke Dewan Rakyat bulan depan.
“Saya tidak faham apa yang mereka cuba lakukan. Saya sudah pun menjadi Perdana Menteri.
“Jika mereka memberi sokongan kepada saya, terima kasihlah,” katanya sambil tersenyum ketika ditanya media mengenai isu tersebut.
Terdahulu, Dr. Mahathir menghadiri sesi dialog bersama Dewan Perdagangan dan Industri Perancis (CCFIM) di sini hari ini.
Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PAS akan membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Mahathir semasa persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
Artikel berkaitan: Usul undi percaya: Kita tengok PH sokong atau tidak
Usul tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.
Ia bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara kerana masih terdapat banyak isu yang belum selesai.
Dalam pada itu, UMNO sebagai rakan Muafakat Nasional tidak menolak kemungkinan untuk menyokong usul yang dibawa PAS itu sekiranya ia boleh memberi manfaat kepada rakyat.- MalaysiaGazette
Usul sokong PM tidak dibincangkan dengan UMNO, kata Tuan Ibrahim