KUALA LUMPUR – Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf mengakui Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah tidak pernah secara peribadi mendedahkan isu derma kepada Malaysia.
Sebaliknya Syed Omar berkata, beliau diberitahu tentang derma yang dilakukan Raja Abdullah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Syed Omar yang saksi keempat kes pembelaan SRC International Sdn Bhd menyatakan demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi.
Sithambaram: Adakah kamu tahu berapakah sebenarnya jumlah derma yang telah diberikan oleh Raja Abdullah kepada Najib?
Syed Omar: Saya tidak tahu, tidak pasti.
Sithambaram: Baiklah, tidak apa. Pada pandangan anda, jika sumbangan derma diberikan adakah mereka harap ianya dipulangkan dengan cara lain?
Syed Omar: Saya tidak pasti.
Sithambaram: Anda tidak pasti? Apa-apa sumbangan jika diberikan oleh seseorang, adakah mereka harapkan sesuatu pulangan?
Syed Omar: Saya tidak pasti.
Sithambaram: Baiklah, saya hendak tanya. tentang derma yang diberikan oleh Arab Saudi. 50 juta pounds telah dijanjikan dalam surat, tetapi hanya 10 juta pound telah dibayar kepada Najib.
Itu bermakna mereka mungkir janji. Adakah anda terkejut? Saya sedang bercakap tentang seorang pemerintah sebuah negara yang berjanji bukan seorang peniaga atau orang biasa-biasa.
Tidakkah itu pelik? Seorang pemerintah yang sebelum ini berjanji melalui wakilnya akan memberikan derma tapi kemudian hanya berikan sedikit. Tidakkah itu pelik?
Syed Omar: Sebenarnya saya tidak pasti. Saya tidak tahu.
Sithambaram: Adakah kamu terkejut jika dana yang sepatutnya derma bertukar pula menjadi pinjaman?
Tolong jawab dengan jujur, jangan berpihak pada sesiapa. Anda telah angkat sumpah tadi. Jawab dengan jujur adakah anda terkejut?
Syed Omar: Ya.
Sithambaram: Saya cadangkan kepada kamu, mantan Perdana Menteri telah menerima derma bertujuan untuk pilihan raya, jadi ianya campur tangan kuasa asing dalam negara ini. Setuju?
Syed Omar: Saya tidak tahu.
Sithambaram: Tapi anda juga cakap yang sumbangan diberikan untuk menang pilihan raya. Betul atau anda sudah lupa?
Syed Omar: Saya tidak tahu.
Sithambaram: Anda tidak pasti apakah yang dibincangkan oleh Raja Abdullah, Datuk Jamil Khir dan Datuk Najib?
Syed Omar: Saya hanya tahu selepas itu.
Sithambaram: Adakah Jamil Khir boleh bertutur Arab?
Syed Omar: Ya boleh.
Sithambaram: Anda percaya apa sahaja dalam keterangan saksi ini adalah hasil ‘ingatan’ kamu 10 tahun lepas?
Saksi: Ya benar.
Sitham: Saya tanya kamu satu soalan berdasarkan memori kamu, apakah kamu boleh ingat apa-apa?
Saksi: Ya.
Sitham: Persoalan tentang derma kamu tahu melalui Najib dan bukannya Raja Abdullah bukan? Adakah Raja Abdullah beritahu kamu?
Saksi: Ya benar melalui Datuk Najib sahaja.
Sitham: Baiklah, terima kasih. Jangan salah anggap tentang soalan-soalan saya ya.
Saksi: Tidak apa.
Hakim Mohd Nazlan kemudian bertanyakan penjelasan tentang soalan dibangkitkan oleh Sithambaram kepada saksi.
Mohd Nazlan: Adakah soalan kamu menjurus kepada derma dan tujuan ianya disumbangkan?
Sithambaram: Ya, itulah yang saya tanya tetapi saksi tidak pasti tentang derma dan tujuan derma.
Prosiding bersambung dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kembali menyoal saksi.
Terdahulu ketika membacakan kenyataan saksi, Syed Omar memberitahu mahkamah tentang satu insiden berkait dengan derma yang disalurkan Arab Saudi kepada Najib bagi mengendalikan politik negara.
Dedah Syed Omar, pada satu mesyuarat rasmi, ada seketika Raja Abdullah bersama Najib dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir ‘menjauhkan’ diri dari tempat mesyuarat menuju ke ruang tengah dewan.
“Mereka kelihatan sedang berbincang dengan begitu tekun sekali. Selepas mesyuarat itu berakhir, saya kemudian difahamkan bahawa Raja Abdullah ada menawarkan pertolongan dalam bentuk dana.
“Ianya untuk kegunaan Datuk Najib dalam mengendalikan politik beliau serta pilihan raya akan datang,” kata Syed Omar. –MalaysiaGazette