KUALA LUMPUR – Seperti kes terdahulu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mahkamah hari ini sekali lagi mahkamah menolak permohonan ikat jamin seorang peniaga, B.Subramaniam.
Subramaniam atau jauh lebih dikenali sebagai USS Subra itu ketika ini berhadapan dengan pertuduhan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE yang berpangkalan di Sri Lanka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan keputusan itu membuat keputusan kesalahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.
Kata beliau, kesalahan itu berkaitan keganasan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin menurut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Sebenarnya mahkamah tidak boleh bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berperlembagaan, oleh itu permohonan pemohon ditolak,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Aslinda Ahad manakala peguam Selvam Shanmugam pula mewakili tertuduh.
Selvam ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu hari ini juga berkaitan permohonan ikat jamin.
Sebelum ini, USS Subra mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama US Subra Subramaniam.
USS Subra berhadapan dengan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.
Dua minggu lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan ikat jamin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), G Saminathan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.
Saminathan yang juga merupakan pemimpin DAP serta Exco Negeri Melaka itu ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam memberi sokongan kepada LTTE.
Hakim Datuk Ahmad Shahriri Mohd Salleh yang mengendalikan kes Saminathan membacakan keputusan memutuskan permohonan ikat jamin itu ditolak selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.
Kata Ahmad Shahrir, LTTE masih lagi dikategorikan serta diwartakan sebagai sebuah organisasi pengganas yang masih lagi aktif malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum mengeluarkan kumpulan itu daripada kategori terbabit.
“Walaupun pada November tahun lepas Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak berperlembagaan namun permohonan ikat jamin ini ditolak atas sebab keseriusan hukuman atas kesalahan ini.
“Saya sedia maklum bahawa LTTE ini sudah tidak berfungsi lagi namun ianya masih digazetkan sebagai sebuah kumpulan pengganas aktif setakat ini, ianya belum dikeluarkan dari senarai oleh Kementerian.
“Permohonan bagi ikat jamin kes ini ditolak oleh mahkamah setelah mengambil kira hujah kedua-dua belah pihak dengan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette
LTTE masih lagi sebuah organisasi pengganas yang aktif – Hakim