Home Sukan Rakan kongsi rai kepulangan TM

Rakan kongsi rai kepulangan TM

KUALA LUMPUR – Rakan kongsi Malaysian Football League (MFL) menyifatkan kehadiran semula Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia menaikkan lagi semangat semua pasukan untuk memulakan saingan pada musim ini.

Jelas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, mereka begitu berbesar hati dengan kerjasama yang telah terjalin sambil mengharapkan perjanjian yang dimeterai itu dapat mengubah hala tuju bola sepak tempatan ke arah yang lebih cemerlang.

Bahkan, beliau tidak menolak semua pasukan yang bertanding melahirkan rasa teruja dengan penajaan tersebut memandangkan MFL telah bergelut dengan pelbagai cabaran pada musim lalu dan kini sudah tiba masa untuk mengorak langkah dengan lebih baik.

Apa yang pasti, Johan percaya tidak akan timbul lagi isu hak penyiaran pada musim ini dengan adanya TM sebagai penaja dan percaya usaha keras daripada MFL untuk terus memastikan kelancaran Liga Malaysia buat semua pasukan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selaku Presiden MFL dan semua rakan kerja MFL atas usaha untuk memeterai perjanjian bersama TM selaku penaja utama.

“Saya rasa dengan kehadiran semula TM ini dapat memberikan semangat baharu kepada semua pasukan dan FAS sendiri berbesar hati bahawa perkara ini akhirnya selesai dan Alhamdulillah kami mengharapkan TM akan sentiasa menyokong Liga Malaysia selaku penaja.

“Sudah tentu, apabila ada penaja, hak penyiaran turut menjadi kepentingan dan kami sememangnya percaya MFL begitu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat semua rakan kongsi di mana saya rasa ini permulaan yang cukup baik daripada TM dan MFL,” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tuan Haji Mohamad Azlin turut berharap kehadiran penaja utama pada musim ini dapat memberikan keyakinan tinggi kepada semua penyokong untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan.

Ini kerana, beliau melihat MFL sudah pun memulakan usaha yang sepatutnya dan kini penyokong juga menjadi nadi utama untuk terus memartabatkan kualiti bola sepak tempatan pada masa akan datang.

“Alhamdulillah dengan kembalinya TM sebagai penaja, saya rasa ini akan membawa satu perubahan besar kepada MFL dan juga Liga Malaysia khususnya.

“Sememangnya ia memberi keyakinan lebih besar kepada penyokong dan kita tahu memang itulah harapan penyokong-penyokong bolasepak untuk melihat perubahan positif dalam saingan Liga Malaysia.

“Harapan saya agar ini akan menjadi titik permulaan untuk MFL menjadi lebih profesional dalam mengendalikan sukan nombor satu negara ini bersama sokongan daripada penyokong juga,” katanya.

Terdahulu, TM diumumkan sebagai penaja utama bagi kejohanan berprestij Piala Malaysia yang kini dikenali sebagai TM Piala Malaysia.

Menerusi perjanjian selama tiga tahun, TM menerusi anak syarikat TM Multimedia (TMM) itu turut menjadi penaja bersama bagi Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Challenge Cup di mana kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan hak mobile streaming serta dalam talian pada semua platform unifi TV. – MalaysiaGazette