KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan akanĀ menyokong usul percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Muar itu sendiri akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri meskipun usul tersebut dibawa oleh Ahli Parlimen daripada Pas.
“Baguslah sebab saya pun memberikan sokongan yang padu 100 peratus kepada YAB Perdana Menteri yang datang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada pemberita di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini, malam ini.
Terdahulu beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang Debat Peringkat Akhir Malaysia Future Leaders School (MFLS) 2020.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ahli Parlimen Pas akan menghantar usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Parlimen pada Mac ini.
Menurut Takiyuddin, ia bertujuan untuk meredakan keadaan susulan banyak khabar angin ditimbulkan oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga berharap agar ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) menyokong kepimpinan Dr Mahathir melalui usul Pas tersebut.
“Saya agak yakin pimpinan PH yang lain juga bersama dengan YAB Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette