Home Akhbar Cina Ibu bapa panik, menangis

Ibu bapa panik, menangis

Foto hiasan

PULAU PINANG – Keadaan panik dan bimbang ibu bapa mengenai jangkitan novel koronavirus telah dikesan di sekolah tertentu di Pulau Pinang dan Selangor.

Di sebuah sekolah di Seberang Perai, ibu bapa dilaporkan panik selepas mendapati seorang murid hanya mengasingkan diri selama tujuh hari selepas pulang dari China.

Di Banting, Selangor pula, terdapat ibu bapa yang menjemput anak mereka dari sekolah selepas satu kes jangkitan disahkan melibatkan warga Banting.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, seorang murid yang datang ke sekolah di Simpang Ampat di Seberang Perai selepas pulang dari percutian di Jieyang, wilayah Guangdong mencetuskan keadaan panik, malahan ada ibu bapa yang menangis.

Difahamkan, murid itu telah mengasingkan diri sendiri selama tujuh hari dan kembali ke sekolah pada 4 Februari dalam keadaan yang sihat.

Ibu bapa bagaimanapun berpendapat murid itu harus mengasingkan diri selama 14 hari. Mereka juga tidak berpuas hati kerana Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan tersebut.

Ibu bapa juga mengadu kerana guru besar tidak berani meminta murid berkenaan mengasingkan diri selama 14 hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik mengesahkan telah menerima aduan daripada seorang ibu bapa dan perkara mengenai “pengasingan murid pulang dari China” juga telah dipanjangkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Choon Aik berpendapat, rakyat yang pulang dari China harus mengasingkan diri selama 14 hari walaupun mereka tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

Sementara itu di Selangor, China Press melaporkan, warganet telah mencari dan mendedahkan identiti seorang lelaki keturunan Cina dari Banting yang disahkan terjangkit Coronavirus.

Warganet malahan mendedahkan bahawa pesakit itu pernah menghadiri aktiviti sambutan Tahun Baharu Cina tertentu, perhimpunan bersama rakan sekolah lama, malahan maklumat ahli keluarganya turut dibongkar.

Ibu kepada pesakit telah meminta privasi mereka dihormati dan mahu supaya warganet tidak menularkan gambar keluarganya.

“Kami sedang mengasingkan diri pada masa ini. Hospital Kuala Langat juga ada menelefon supaya kami pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Pejabat Kesihatan Kuala Langat juga dipercayai akan datang ke rumah untuk pembasmian kuman,” kata ibu itu.

Tambahnya, anaknya hanya disahkan terjangkit coronavirus pada 9 Februari melalui pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh.

“Kami memang tidak mengasingkan diri atau mengambil langkah pencegahan sebelum ini.

“Kami bagaimanapun tidak menyembunyi apa-apa dan telah memberitahu perkara sebenar serta akur kepada arahan pihak berkuasa,” katanya kepada China Press.

Sinchew Daily pula melaporkan, terdapat ibu bapa yang menjemput anak mereka dari sekolah di Banting kerana bimbang dengan penularan coronavirus susulan jangkitan kes pertama melibatkan orang Banting.

Kehadiran sekolah juga menurun berikutan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa. – MalaysiaGazette