Oleh NORLAILI ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR – Pemberian wang tunai (cash handouts) kepada rakyat yang layak bukanlah sesuatu yang baharu malah negara-negara maju seperti United Kingdom dan Singapura turut mengamalkan sistem sedemikian sejak sekian lama.
Malah Ogos lalu, sekumpulan pakar ekonomi progresif Britain mencadangkan supaya pemberian wang tunai secara langsung diberikan kepada isi rumah sebagai langkah untuk merangsang ekonomi negara tersebut.
Langkah ini jauh lebih baik berbanding melakukan pemotongan kadar faedah.
Sebenarnya, keputusan Malaysia memperkenalkan pemberian wang tunai terus bermula 2012 lalu adalah tindakan yang terlewat kerana negara selama ini sangat memfokus kepada pemberian subsidi secara umum yang mana ianya dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang pendapatan.
Apa yang lebih menyedihkan, kira-kira 80 peratus subsidi dinikmati oleh golongan kaya dan pihak industri berbanding rakyat berpendapatan rendah.
Perkara ini telah dinyatakan oleh banyak pihak antaranya Institut Kajian Khazanah (KRIS), sebuah badan bukan kerajaan yang dibiayai oleh Khazanah Nasional Bhd., yang menyatakan, sistem subsidi di negara ini perlu dilakukan reformasi supaya lebih tepat kepada golongan sasar.
KRIS dengan itu mencadangkan supaya diberikan bantuan tunai seperti BR1M kepada golongan sasar.
Dalam terbitan pertamanya pada 2014 bertajuk “Keadaan Isi Rumah”, KRIS menegaskan subsidi bukan cara terbaik untuk membantu rakyat berpendapatan rendah kerana wang diperuntukkan lebih elok jika disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih produktif untuk menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup hari ini, bantuan tunai seperti BR1M amat membantu golongan sasar untuk menjalani kehidupan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, BR1M telah memberi manfaat kepada lebih 33.19 juta penerima termasuklah golongan yang berpendapatan di bawah RM4,000, orang bujang yang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan serta penerima yang berada dalam senarai e-kasih.
Tahun ini sahaja, sejumlah 7.43 juta penerima menerima bantuan BR1M dengan peruntukan sebanyak RM5.36 bilion.
Apa yang pasti, ianya sentiasa ditambah baik supaya manfaatnya lebih menyeluruh dan lebih ramai rakyat yang berkelayakan dapat menerima BR1M sementelah beberapa subsidi telah dirasionalisasikan supaya ianya tidak lagi menjadi habuan golongan kaya dan pihak industri semata-mata.
Ini sejajar dengan matlamat kerajaan ketika memperkenalkan BR1M iaitu mahu mengagihkan kekayaan melalui kebajikan kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Bermula dengan bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan semasa mula-mula BR1M dilaksanakan, julat pendapatan isi rumah juga telah dilebarkan sehingga RM4,000 sebulan dan turut melibatkan orang bujang yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200 bagi penerima BR1M pada tahun hadapan.
Berdosakah menerima BR1M?
Terlalu banyak persepsi dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan mengenai bantuan wang terus ini. Ada yang memperlekehkan pemberian wang tersebut yang dianggap tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini tetapi masih ramai yang bersyukur apabila menerima BR1M kerana selama ini mereka bukanlah penerima subsidi yang besar seperti golongan kaya mahupun pihak industri.
Wang yang diterima itu digunakan untuk menampung perbelanjaan harian serta keperluan-keperluan lain yang lebih penting.
Pemberian BR1M juga bukan sejenis rasuah politik. Ini kerana tiada sebarang jaminan bahawa penerima bantuan tersebut perlu mengundi parti pemerintah semasa pilihanraya nanti. Selain itu, tiada juga sebarang klausa yang mengatakan ahli parti pembangkang atau penyokong pembangkang tidak dibenarkan memohon BR1M dan seterusnya menerima bantuan tersebut. Selagi anda warganegara Malaysia dan mempunyai kelayakan sebagai penerima BR1M, pastinya permohonan tersebut tidak ditolak.
Ini dibuktikan apabila data Kementerian Kewangan merekodkan jumlah tertinggi BR1M pada 2014 sehingga kini adalah Selangor, yang dimaklumi sebagai negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang.
Malah Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa sidang medianya hari ini juga menolak dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh BR1M adalah rasuah.
Menurut Dr. Mahathir bantuan BR1M adalah tidak halal serta salah di sisi undang-undang.
Bersikap rasional, Wan Azizah berpendapat, BR1M adalah tanggung jawab kerajaan kepada rakyatnya yang memerlukan. Maka ia bukan satu bentuk rasuah, tegas beliau.
Sejujurnya, pemberian secara terus ke tangan penerima yang layak (yang telah disaring oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri menerusi maklumat yang diberikan semasa permohonan) adalah satu bentuk pindahan yang paling efisyen dan segera. Tiada orang tengah, tiada penipuan.
Tambahan pula wang tunai merupakan satu bentuk bantuan yang paling serba guna. Ia boleh digunakan terus oleh penerima dan kemana mereka mahu membelanjakan bantuan tersebut juga tidak dipersoalkan.
Jika pandai disalurkan kepada perkara bermanfaat maka tercapailah objektif kerajaan tetapi jika dibazirkan, diri sendiri yang rugi. – MalaysiaGazette