Home Utama Rasuah AirAsia : SPRM tunggu dokumen dari UK sebelum bertindak

Rasuah AirAsia : SPRM tunggu dokumen dari UK sebelum bertindak

Latheefa Koya

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu dokumen siasatan yang dikendalikan di United Kingdom (UK) dalam kes rasuah melibatkan urusniaga syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, sebarang tindakan lanjut belum dibuat memandangkan pihaknya masih menunggu dokumen berkaitan.

“Kami masih menunggu maklumat lanjut dalam siatan kes ini, malangnya dokumen yang diterbitkan di dalam laman web lebih kepada pihak Airbus sahaja.

“Kami sedang menunggu maklumat dari UK sebab ia berasaskan siasatan yang dijalankan di UK dan tidak boleh komen lanjut sehingga mendapatkan dokumen berkaitan kes ini dari sana,” katanya.

Terdahulu Latheefa hadir ke Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan kerjasama Asia Pacific 2020 bertajuk Symposium Gender Maintreaming and Woman Empowerment to Fight Corruption di Hotel Marriot Putrajaya yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Ditanya sama ada bekas Pengerusi Air Asia Group Bhd, Datuk Kamaruddin Meranun akan dipanggil untuk memberi keterangan, Latheefa berkata, setakat ini, pihaknya belum membuat keputusan mengenainya.

“Kami tak pasti sama ada akan panggil individu-individu yang dimaksudkan itu sehingga dapat dokumen berkaitan. Kami sudah menghubungi pihak di sana dan mereka belum membalas kami. Kami masih menunggu maklumbalas mereka,” ujarnya sambil menegaskan sebarang soal melibatkan permintaan antarabangsa dalam aspek penggubahan wang haram akan memakan masa.

Beliau juga menjelaskan, pihak penyiasat di UK berkemungkinan mempunyai ratusan enkuiri berkaitan siasatan kes itu dan sedang memprosesnya.

“Bila segala dokumen diterima nanti barulah kami akan meneliti dokumen-dokumen itu sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamaruddin Meranun dan Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia , Tan Sri Tony Fernandes telah melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dalam syarikat untuk tempoh dua bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, langkah itu adalah bagi tempoh dua bulan atau jangka masa yang difikirkan sesuai oleh syarikat.

Tindakan itu menyusul bagi memberi peluang untuk siasatan penuh dan bebas dilakukan Air Asia dalam soal dakwaan rasuah melibatkan syarikat itu.

Sebelum ini Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pula dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membuat penilaian sama ada terdapat pelanggaran Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan garis panduan dikenali “Guidelines on Fit and Proper Person” berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus SE, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd. – MalaysiaGazette