Home Ekonomi Maybank IB unjur KDNK suku keempat tahun lalu 3.8%

Maybank IB unjur KDNK suku keempat tahun lalu 3.8%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2019 menyederhana kepada 3.8 peratus tahun ke tahun berikutan penyusutan dalam perlombongan dan pertanian serta kelembapan sektor pembuatan.

Ini berlaku walaupun berlaku peningkatan bagi perkhidmatan dan pembinaan.

Dalam nota penyelidikan hari ini ia memaklumkan, penunjuk sudut permintaan seperti indeks perdagangan runcit, import barangan modal dan lebihan perdagangan menunjukkan permintaan domestik dan permintaan luaran bersih yang perlahan.

“Unjuran pertumbuhan semasa kami bagi 2020 adalah 4.4 peratus dengan risiko menyemak turun akibat penularan novel koronavirus 2019.

“Optik sudut ekonomi adalah tidak memberangsangkan kerana penunjuk mencatat permintaan domestik dan luaran bersih yang perlahan pada suku yang lepas. Indeks perdagangan runcit tumbuh sederhana, menjadikan penggunaan swasta sebenar mengalami kelembapan,” kata Maybank IB.

Menurutnya, pembentukan modal tetap kasar sebenar terus kekal rendah dengan mengambil kira penyusutan yang berterusan terhadap import barangan modal.

“Jumlah pertumbuhan perbelanjaan kerajaan berkurangan secara ketara kepada 3.1 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2019 berbanding 25.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2019, menunjukkan prestasi lemah bagi perbelanjaan penggunaan kerajaan sebenar pada suku yang lepas selepas mencatat pertumbuhan 1.0 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2019.

“Pertumbuhan lebihan dagangan menyusut ketara, menjadikan permintaan luaran bersih mencatat pertumbuhan perlahan. Pada masa yang sama, jumlah eksport dan import yang terus berkurangan menyebabkan prestasi kurang memberangsangkan terus berlaku bagi eksport barangan dan perkhidmatan serta import sebenar barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan ekonomi negara untuk berkembang pada kadar sederhana sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun bagi suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh negara kepada 4.5 peratus daripada sasaran awal 4.6 peratus.

“Perang perdagangan global kekal menjadi faktor risiko penurunan khususnya bagi perdagangan luaran Malaysia dan aktiviti perindustrian bagi suku ketiga dan akhir.

“Kami melihat KDNK bagi suku keempat 2019 sebagai yang paling lemah pada tahun itu akibat perdagangan luaran yang kurang memberangsangkan dan aktiviti domestik yang sederhana,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengenai masa depan, MIDF Research berpendapat 2020 akan kekal menjadi tahun yang mencabar susulan daripada perlindungan global, ketidaktentuan politik Amerika Syarikat dan koronavirus. – MalaysiaGazette