Home Politik DAP Sarawak angkuh, tak hormat mahkamah – Mohd Khairuddin

DAP Sarawak angkuh, tak hormat mahkamah – Mohd Khairuddin

Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang tidak memohon maaf kepada pengundi Pujut kerana mencalonkan Dr Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat di kawasan itu jelas memperlihatkan betapa angkuhnya sikap pemimpin DAP di negeri itu.

Malah, Chieng Jen juga tidak menghormati mahkamah yang membuat keputusan berhubung perkara tersebut, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut, tetapi tindakan Chieng Jen yang tetap berkeras menyatakan DUN Sarawak menyalahgunakan kuasa menunjukkan beliau tidak menghormati undang-undang.

Artikel berkaitan: Tiada PRK Pujut susulan Dr Ting dilucut kelayakan – Asfia

“Lebih membahayakan lagi bila kata-kata menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan ini dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran Kerajaan Pusat seperti Chong Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Jika Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara, maka tidakkah ini akan menjadikan rakyat biasa lebih berani untuk mempersoalkan keputusan mana-mana mahkamah selepas ini?

“Lebih teruk lagi, Chong Chieng Jen adalah seorang peguam dan patut tahu bahawa amalan tradisi Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang (dissenting voice) akan diberikan secara individu oleh tiap-tiap hakim yang menentang, manakala suara majoriti (majority voice) pula lazimnya diberikan secara bersama,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, untuk Chong Chieng Jen meminta setiap satu daripada tujuh orang hakim yang bersetuju dengan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut dengan menulis hujah mereka secara individu adalah melampau dan tidak menghormati Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang supaya beramai-ramai bersuara mendesak Chieng Jen dan DAP meminta maaf atas keterlanjurannya itu. – MalaysiaGazette

ADUN DAP hilang kerusi Pujut