KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan permohonan jamin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).
Sebaliknya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pasukan bela yang telah membawa isu perlembagaan berkaitan penahanan itu ke Mahkamah Persekutuan semalam.
Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) digunakan untuk menahan Adun DAP ini serta 11 yang lain tahun lalu.
Ini kerana sebelum ini dua keputusan bercanggah telah dibuat terhadap isu itu oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Kata Muhammad Jamil, adalah lebih baik supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terlebih dahulu berkait dengan perlembagaan sebelum pihaknya mengeluarkan apa-apa berkait dengan ikat jamin tersebut.
“Bagi memastikan satu keseragaman, perkara itu perlu dirujuk ke mahkamah lebih tinggi kerana ada dua keputusan berbeza tentang perkara itu.
“Saya pada masa yang sama sangat percaya persoalan perlembagaan ada hubungan langsung dengan kes ini dan saya usulkan ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
“Saya mohon juga kes ini dihantar dengan cepat dan pengurusan kes berkaitan ini akan didengar pada 13 Mac hadapan,” katanya.
Isnin lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan telah memutuskan kesalahan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan berkaitan keganasan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin menurut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berperlembagaan, oleh itu permohonan pemohon ikat jamin ditolak,” katanya.
Ini merupakan satu keputusan yang dianggap agak mengejutkan kerana sebelum iniHakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pula memutuskan Seksyen 13 yang menghalang mahkamah daripada menimbangkan permohonan ikat jamin adalah tidak berperlembagaan.
Pada 29 Januari lepas, Adun Gadek, G Saminathan juga ditolak permohonan ikat jamin oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Mohd Shahrir dalam penghakimannya pula berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) telah mewartakan LTTE sebagai entiti yang aktif melakukan aktiviti keganasan.
Dalam pada itu, Gunasekaran kelihatan tenang dan sedikit ceria kerana dikelilingi sanak saudara serta pemimpin DAP termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Suasana sedikit hiba apabila Gunasekaran memeluk dan mencium cucu kembar yang baharu sahaja lahir, air matanya kelihatan sedikit bergenang namun dipujuk oleh anak lelaki beliau.
Gunasekaran yang berkemeja putih kemudian sempat senyum dan melambai kepada para penyokongnya serta media sebelum keluar. – MalaysiaGazette