KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati Kerajaan Malaysia supaya bersedia kemungkinan penularan Covid-19 yang telah menjangkiti beribu-ribu orang dan membunuh lebih 1,000 orang di China.
Pengarah Serantau Pasifik Barat WHO, Dr Takeshi Kasai berkata, maklumat terkini menunjukkan virus berkenaan boleh
merebak lebih luas berbanding data awal.
Nasihat itu, katanya, tidak bermakna penularan boleh berlaku dengan mudah di Malaysia atau di mana-mana sahaja.
“Penularan lebih luas memerlukan perubahan fokusĀ dalam aktivitiĀ melindungi impak pendedahan kesihatan dan sosial. Jadi, jika kita tidak bersedia sekarang, kita tidak akan mampu mengaktifkan perancangan apabila ia diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kerajaan Malaysia perlu memastikan kemudahan-kemudahan kesihatan di negara ini boleh memberi fokus kepada kes-kes paling sukar.
Ia mungkin membawa maksud merancang supaya mereka yang dijangkiti dapat dikuarantinkan manakala mereka yang mengalami sakit ringan tinggal di rumah sehingga pulih – agar kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan tidak menjadi tumpuan.
“Langkah-langkah ini mesti diambil untuk memastikan kemudahan kesihatan tidak menjadi tempat yang menyebarkan virus kepada kakitangan dan pesakit lain,” kata Dr Takeshi.
Selain melakukan ujian ke atas semua kes yang disyaki dan melakukan pengesanan hubungan pada setiap individu yang mempunyai virus itu, kerajaan harus menggunakan ujian terhad untuk memantau penyebaran geografi dan trend serta menggunakan data untuk membuat keputusan mengenai maklum balas kesihatan awam.
Kerajaan juga harus bersedia untuk mempertimbangkan kemungkinan menutup sementara sekolah dan menangguhkan perhimpunan awam untuk mengurangkan keupayaan penyebaran virus.
Dr Takeshi turut menasihatkan orang awam untuk menjaga kesihatan masing-masing dan tidak menyebarkan khabar angin dan maklumat salah di atas talian kerana boleh memburukkan keadaan.
“Basuh tangan anda dengan kerap dan teliti. Jika batuk atau bersin, tutup hidung dan mulut dengan tisu atau siku anda. Jauhkan jarak anda (kami mencadangkan sekurang-kurangnya satu meter) – dari individu yang tidak sihat.
“Jika anda sakit, tinggal di rumah supaya anda tidak berisiko menjangkiti orang lain – dan dapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami masalah bernafas,” katanya.
Pada masa ini, organisasi global sedang mengkaji penularan virus dan memantau tahap teruknya.
Setakat ini, katanya, China menyaksikan 2% kematian dalam seluruh kes yang dilaporkan dengan kadar kematian 0.4% dalam kalangan mereka yang dijangkiti virus berkenaan di luar wilayah Hubei. – MalaysiaGazette