PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 26 pengimbas suhu tambahan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peralatan tambahan yang diterima pihaknya akan ditempatkan di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.
“Kita baru terima tambahan sebanyak 26 buah pengimbas suhu dan akan segera menempatkannya di lokasi pintu masuk negara termasuk di pintu masuk Selatan CIQ Johor yang wujudnya keperluan segera ketika ini dan akan dihantar secepat mungkin.
“Dengan penambahan peralatan tersebut, ia menjadikan jumlah keseluruhan 80 pengimbas suhu digunakan setakat ini,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 hari ini.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peralatan tambahan tersebut.
Menurutnya, tuntutan KKM itu telah diluluskan serta merta oleh kerajaan bagi memperhebatkan lagi proses penyaringan di semua pintu masuk utama negara.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kerajaan akan memperketatkan pelaksanaan proses saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor bagi mengekang penularan wabak itu.
Ujar beliau, mengikut perangkaan terbaharu, seramai 300,000 rakyat kedua-dua negara merentasi sempadan Johor-Singapura setiap hari bagi pelbagai tujuan termasuk bekerja, perniagaan dan urusan kekeluargaan.
“Ini antara perkara yang kita akan bincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Bersama yang dibentuk antara KKM dan Kementerian Kesihatan Singapura yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan kedua dua negara semalam.
“Manakala mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan dalam tempoh seminggu lagi.
“Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan kedua-dua negara seperti yang ditetapkan sewaktu penubuhan untuk membincangkan segala soal dan perkara berbangkit untuk mencari jalan penyelesaian yang kondusif,” ujarnya.
Pada sidang media sama, beliau mengesahkan tiada kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kekal pada kes dan tiga yang sembuh dibenarkan pulang. -MalaysiaGazette