Home Nasional KKM khuatir kenyataan Pengarah WHO cetus kebimbangan rakyat – Dzulkefly

KKM khuatir kenyataan Pengarah WHO cetus kebimbangan rakyat – Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dzulkefly Ahmad risau kenyataan Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi rantau Asia Pasifik Barat, Dr. Takeshi Kasai yang menasihati kerajaan Malaysia bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya penyebaran wabak yang lebih luas akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menteri Kesihatan itu bagaimanapun menghargai kenyataan WHO dan menyifatkannya sebagai peringatan kesiapsiagaan bagi menghadapi wabak Covid-19.

Katanya, penilaian KKM mendapati situasi jangkitan Covid-19 adalah terkawal dan masih berada pada tahap pembendungan awal dan bersedia menghadapi fasa seterusnya, iaitu Tahap Pembendungan Akhir dan Tahap Mitigasi.

“Setelah kami perhatikan dan meneliti saranan WHO mendapati pertamanya kita belum sampai ke tahap itu seperti yang dirisaukan Takeshi, dan kalaupun kita sampai tahap itu nanti, KKM bersiap sedia menangani cabaran itu.

“Sehingga hari ini masih lagi seluruh episod jangkitan kluster ini sedang ditangani KKM dan kita belum tiba masa menyerahkan baton (tanggungjawab) mengambil sikap serahkan kepada PM (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Kalaulah kita buat pengisytiharan sebagai krisis, nasihat WHO itu akan diletakkan pada perspektif sebetulnya,” katanya pada sidang media harian mengenai jangkitan Covid-19 hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, KKM kini mempunyai 18 buah makmal awam yang menjalankan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 iaitu 12 makmal hospital kerajaan, sebuah makmal kesihatan awam kebangsaan di Sungai Buloh dan empat makmal kesihatan awam masing-masing di Perak, Johor, Kelantan dan Sabah serta sebuah Institut Penyelidikan Perubatan.

Menurutnya, KKM juga melatih lima buah makmal yang diuruskan oleh swasta untuk menjalankan ujian pengesahanan jangkitan Covid-19.

“Setakat ini sebanyak 550 ujian pengesanan Covid-19 telah dijalankan ke atas pesakit yang bergejala dan juga kontak rapat dan hanya 18 pesakit daripada jumlah itu disahkan positif jangkitan Covid-19.

“KKM juga sedia memperluaskan keupayaan ujian pengesanan berkenaan ke makmal lain bergantung kepada situasi semasa jangkitan Covid-19,” tegasnya. – MalaysiaGazette

4 Komen

Comments are closed.