SHANGHAI – Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix China yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 April ini ditunda berikutan penularan wabak koronavirus.
Promoter Grand Prix China, Juss Sports Group, secara rasmi memohon penundaan itu selepas melakukan perbincangan dengan Persekutuan Sukan Automobil dan Sukan Republik Rakyat China (CAMF) dan Pentadbiran Sukan Shanghai, menurut laman sesawang Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Katanya, ketika kebimbangan mengenai kesihatan berterusan dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan koronavirus sebagai darurat kesihatan global, FIA secara bersama memutuskan untuk menerima permohonan penundaan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan, peserta dan penyokong terjamin.
“Grand Prix China sentiasa menjadi bahagian penting kalender F1 dengan peminat yang ramai,” katanya.
Katanya, Formula 1 dan FIA akan terus bekerjasama dengan setiap pasukan, promoter perlumbaan, CAMF dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan itu dengan semua pihak mengkaji tarikh alternatif untuk perlumbaan tersebut pada tahun ini jika keadaan mengizinkan. – MalaysiaGazette