KUALA LUMPUR – Agensi berita dan pengamal media di negara ini disarankan supaya meneruskan tahap profesionalisme dengan sentiasa melaporkan isu semasa demi manfaat dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerjasama dan dedikasi pengamal media yang tidak pernah leka dalam menyampaikan berita mutakhir untuk tatapan rakyat dengan mengharungi pelbagai risiko harus dihargai semua pihak.
“MCA setiap tahun tidak pernah gagal meraikan pengamal media yang telah bertungkus lumus senantiasa membantu kita dan negara membuat laporan berita benar dan dinikmati rakyat selama ini.
“Saya terhutang budi dengan semua pengamal media yang melaporkan setiap isu pelbagai sektor tidak kira politik mahupun kemasyarakatan yang memanfaatkan rakyat jelata dan ia harus diteruskan ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam ucapan meraikan pengamal media pada majlis Media Nite 2020 di Dewan San Choon Wisma MCA, malam ini.