Home Dunia MH17: Belanda tolak permohonan Rusia bicara suspek

MH17: Belanda tolak permohonan Rusia bicara suspek

MH17
Tinjauan di lokasi kejadian tragedi MH17 di Grovova, Ukraine pada 23 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

THE HAGUE – Belanda menolak permohonan Moscow yang mengkaji untuk membenarkan Rusia mendakwa tiga warganya yang dikenalpasti sebagai suspek menembak jatuh pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines pada 2014, kata Menteri Kehakiman Belanda.

Perbicaraan pertama dalam kes di Belanda terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang warga Ukraine itu dijangka berlangsung pada 9 Mac ini, lapor Reuters.

Di bawah undang-undang Belanda, perbicaraan boleh dilakukan tanpa kehadiran keempat-empat suspek.
Belanda mengetuai penyiasatan penerbangan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dengan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Dua pertiga daripada penumpang adalah warga Belanda. Dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, pesawat tersebut terbang dalam wilayah yang dikuasai puak pemisah pro Rusia di timur Ukraine.

Kandungan sepucuk surat mengenai kemajuan kes itu yang dihantar ke Parlimen, Menteri Kehakiman Belanda, Ferd Grapperhaus berkata, Rusia telah membuat permohoan tersebut pada Oktober lalu.

“Menteri Kehakiman menjawab bahawa pemindahan pendakwaan tiga suspek warga Rusia bukannya satu pilihan untuk pihak berkuasa Belanda dan tidak akan mengkajinya,” menurut kandungan surat itu.

Para penyiasat berkata, peluru berpandu yang mengenai pesawat tersebut datang daripada pelancar yang dibawa dari sebuah pengkalan tenteraa Rusia di Kursk yang terletak di sempadan.

Moscow menafikan sebarang salah laku. Rusia tidak mengekstradisi warganya, oleh itu tiada suspek warga Rusia dijangka hadir di mahkamah Belanda.

Bagaimanapun, sebuah firma undang-undang Belanda berkata, salah seorang suspek warga Rusia dalam kes itu telah meminta untuk mewakilinya. – Agensi