KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan meminta orang ramai terutama ibu bapa menjadikan insiden seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kereta di Senawang, Isnin lalu sebagai pengajaran kenapa kerajaan beriya-iya mahu menguatkuasa pelaksanaan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).
Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau terkejut dengan insiden itu dan menyifatkan keluarga berkenaan sebagai bernasib baik kerana tidak berlaku kecederaan parah atau melibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, melihat kejadian itu, sudah pasti ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak memasang CRS dalam keretanya, yang menyebabkan anak mereka tercampak keluar dalam kemalangan terbabit.
“Kanak-kanak itu amat-amat bertuah kerana kerana masih hidup. Bayangkan kalau apa-apa terjadi, apakah mereka (ibu bapa) ini tidak kesal? Sepanjang hayat mereka (kesal). Ini sebagai pengajaran.
“Itu sebabnya mengapa kita kata, kita (perlu) kenakan (pasang) kerusi keselamatan kanak-kanak. Sebab apabila kita di jalan raya, kita tidak tahu macam mana faktor kemalangan boleh berlaku.
“Jadi, apa yang berlaku itu, nampaklah pentingnya CRS. Saya harap ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa dan orang ramai tidak mempersoalkan langkah kerajaan menguatkuasakan pemasangan CRS,” katanya kepada pemberita di Lembaga Pelabuhan Klang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.21 petang Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan lain, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Senawang, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kanak-kanak yang mengalami kecederaan di lutut, lengan serta kepala itu sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Sementara itu ditanya adakah kementeriannya akan membentangkan usul pindaan Akta Pengangkutan Jalan berkaitan pemandu mabuk, Anthony berkata, beliau menunggu draf pindaan itu siap untuk dikemukakan bagi bacaan pertama di Parlimen.
“Nanti kita sudah ada draf, kita akan buat bacaan pertama, lepas bacaan pertama saya akan umumkan.
“Saya tak boleh kata bila, sebab kena lihat draf itu dahulu sama ada dapat disiapkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu. Bagaimanapun, kita akan cuba percepatkan proses pindaan undang-undang itu.
“Sekarang ini saya tidak boleh umum lagi. Lepas bacaan pertama baru saya boleh umumkan. Sebab selagi belum ada bacaan pertama, kita tidak boleh kata bila,” katanya.
Beliau turut berharap draf itu dapat disiapkan secepat mungkin, tetapi tidak mahu tergesa-gesa kerana tertakluk kepada beberapa faktor seperti perlu dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.
Selepas itu, kata beliau, baharu draf berkenaan boleh dibawa ke Parlimen dan menunggu giliran berikutan kementerian lain juga turut mengemukakan usul pindaan masing-masing. – MalaysiaGazette