Home Sukan Pemain muda Kelantan mampu kembalikan TRW ke Liga Super

Pemain muda Kelantan mampu kembalikan TRW ke Liga Super

Ketua Jurulatih Selangor B. Sathianathan.

KOTA BHARU – Pemain muda Kelantan mampu membawa pasukan itu kembali beraksi pada saingan Liga Super, kata Ketua Jurulatih Selangor B. Sathianathan.

Katanya berdasarkan perlawanan malam tadi, pemain muda Kelantan menunjukkan kualiti tinggi, setaraf dengan pemain senior yang sedang beraksi dalam saingan Liga Super ketika ini.

“Malam tadi mereka banyak menguasai bola, mencipta peluang dan memberikan banyak masalah kepada saya, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka.

“Kelantan sudah mempunyai pemain tempatan yang bagus, namun mereka perlu mendapatkan pemain import yang lebih berkualiti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada perlawanan persahabatan sempena pra-musim Liga Malaysia (Liga-M) 2020 malam tadi, Kelantan yang kini beraksi di Liga Premier, tewas 0-2 kepada Selangor yang bermain di Liga Super, hasil jaringan Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-50 dan Taylor Francis George (66).

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata beliau gusar pasukannya masih belum menemukan pemain yang mampu bergandingan dengan penyerang, sekali gus menyumbang gol kepada Kelantan, dalam setiap perlawanan.

Yusri berkata beliau mempunyai tempoh dua minggu sebelum sepak mula berlangsung, dan perkara itu menjadi kegusaran kepadanya untuk membentuk pasukan, bagi menghadapi perlawanan pertama dalam saingan Liga Premier pada 29 Feb ini.

“Penyerang import yang diuji dilihat masih tidak membawa sesuatu kelainan dengan pemain tempatan sedia ada.

“Beberapa perlawanan persahabataan sebelum ini pasukan mempunyai kelemahan pada posisi serangan, apabila pasukan mencipta banyak peluang, tetapi gagal disudahkan,” katanya.- BERNAMA