KUCHING – Saman fitnah yang difail oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri terhadap seorang penulis blog berakhir secara aman di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini, dengan penulis blog itu bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
Bercakap kepada pemberita selepas penghakiman disampaikan oleh Hakim Supang Lian, Nancy berkata, beliau mendapat seorang sahabat baharu, Joseph Tawie, yang disaman beliau kerana membuat kenyataan didakwanya berunsur fitnah di catatan Facebooknya.
“Kami bertemu di luar kes ini, memang baik baginya untuk membuat permohonan maaf, namun sebenarnya bukan permohonan maaf yang saya mahukan. Ia lebih kepada maruah saya, kerana saya tahu saya tidak buat sebagaimana yang didakwa (oleh Joseph dalam catatannya),” katanya.
Sementara itu Joseph berkata, beliau tidak mengambil masa yang panjang untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Batang Sadong itu, yang dikenalinya hanya berdasarkan nama dan kedudukannya sahaja, sebelum dia disaman.
“Saya menyesal dengan perbuatan saya dan benar-benar memohon maaf kepadanya, dan beliau dengan rendah hati menerima permohonan maaf saya. Ia tidak berakhir dengan permusuhan, sebaliknya kes ini menjadikan kami bersahabat,” tambahnya.
Joseph yang membaca kenyataan permohonan maafnya di mahkamah diperintah membayar RM25,000 sebagai ganti rugi kepada Nancy, di samping menyiarkan permohonan maaf secara bertulis di dua akhbar berbahasa Inggeris yang berpengkalan di Sarawak. – Bernama