JOHOR BAHRU – Tiga kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat lemas semasa bermandi-manda di sebuah kolam berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Amar, Majidee, di sini, malam ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah, 11, Faris Farhan Mohd Sani, 14 dan Muhammad Haziq Nor Kamal, 10, manakala seorang kanak-kanak yang terselamat dalam insiden itu dikenali sebagai Muhammad Faiz Haiqal Abdullah, 13.
“Polis menerima maklumat kejadian daripada Muhammad Faiz Haiqal yang datang ke Balai Polis Majidee pada pukul 7.23 malam. Hasil temu bual, Muhammad Faiz Haiqal memberitahu bahawa dia bersama tiga rakannya itu pergi memancing ikan di kolam berkenaan pada kira-kira pukul 2.00 petang tadi sebelum mereka bermandi manda,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga rakan Muhammad Faiz Haiqal tiba-tiba lemas pada kira-kira pukul 7.00 malam kerana mandi di bahagian tengah kolam itu, dan dia cuba membaling tali bagi membantu, namun, tidak sampai ke arah ketiga-tiga rakannya itu.
Menurutnya, pasukan bomba yang melancarkan operasi mencari di kolam itu menemui mayat Muhammad Rozie Iskandar pada pukul 7.47 malam, disusuli Faris Farhan pada pukul 7.49 malam dan Mohd Haziq pada pukul 8.16 malam.
Shahurinain berkata, jarak ketiga-tiga mereka ditemui kira-kira lima meter dari tepi kolam, dan menurutnya pihak bomba memberitahu bahawa bahagian dasar kolam sedalam tiga meter itu mempunyai lumpur sedalam kira-kira satu meter.
“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saiful Bahri Safar berkata, 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Johor menerima panggilan menerusi talian MERS 999 pada pukul 7.22 malam.
Beliau berkata, bomba kemudian bertindak membuat operasi pencarian di permukaan kolam itu dan kemudian menemukan ketiga-tiga mereka. – Bernama