KUALA LUMPUR – Selepas 10 tahun berlalu sejak kemunculan pertamanya dalam rancangan realiti nyanyian Astro Star Quest pada tahun 2009 kini nama penyanyi, pelakon dan pengacara Alvin Chong semakin meningkat naik.
Bintang seninya semakin bersinar.
Pada tahun lalu menyaksikan penyanyi yang mesra disapa sebagai Alvin itu merekodkan sejarah peribadi apabila dijemput untuk mewakili Malaysia dalam acara berprestij antarabangsa 2019 Asia Song Festival yang berlangsung di Korea Selatan.
Bagi membuka lembaran seninya untuk tahun 2020, Alvin bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Tak Terganti iaitu single solo keempatnya dalam Bahasa Melayu.
Sebelum ini Alvin pernah popular dengan lagu Lagumu pada 2016, Mencintaimu (2017) dan Tajam dua tahun lalu.
Sementara itu, Tak Terganti merupakan hasil ciptaan Ariadinata iaitu penyanyi kumpulan Samsons dari Indonesia yang pernah popular di Malaysia dengan lagu Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki.
Lagu itu turut mendapat sentuhan penerbit antarabangsa Bryan B sebagai penggubah dan penerbit rakaman.
Penerbit yang berasal dari Australia ini, pernah bekerjasama dengan artis-artis terkemuka Antarabangsa seperti Sean Kingston, Christian Alexanda, Darren Espanto, Brandon Beal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan DeFAM.
Tak Terganti yang diberikan suntikan elemen Pop-EDM ini memiliki kekuatan melodi yang mesra telinga dan lirik yang mudah diingati. Lebih menarik lagi, lagu yang mengangkat tema cinta ini turut menyaksikan vokal dan penyampaian Alvin semakin matang, sekaligus membezakan lagu ini daripada lagu-lagu Alvin sebelum ini.
Bintang Alvin mula menyinar apabila berjaya mencuri perhatian peminat Melayu menerusi beberapa drama Melayu popular seperti Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr Pilot dan Mak Cun.
Namun kredibilitinya sebagai pelakon mula menyerlah menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri Awak Suka Saya Tak?, sebuah drama yang menggandingkan Alvin dan Emma Membong yang berjaya mencipa fenomena tersendiri.
Sejak dilamar untuk bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada tahun 2017, profilnya sebagai penyanyi semakin menyerlah apabila merakamkan lagu duet bersama penyanyi Filipina, Isabela Vinzon untuk single berbahasa Inggeris, We Got This pada 2018 dan juga lagu duet bersama penyanyi Indonesia, Dea Dalila untuk single berbahasa Melayu, Mencintaimu 99% pada tahun sama.
Dengan kemunculan single terbaharu berjudul Tak Terganti, Alvin berharap ianya dapat menempatkan dirinya sebagai penyanyi lelaki bukan Melayu terunggul dalam persada muzik Melayu.
Single terbitan Universal Music Malaysia itu kini di dapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. – MalaysiaGazette