Home Politik Halang Zuraida anjur program parti satu tindakan terpilih – Haniza

Halang Zuraida anjur program parti satu tindakan terpilih – Haniza

Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Langkah Biro Politik PKR yang menyekat naib presidennya, Zuraida Kamaruddin daripada mengadakan sebarang program dan aktiviti parti termasuk cabang serta ranting di seluruh negara dilihat sebagai tindakan terpilih.

Ketua Wanita Keadilan, Haniza Mohamed Talha menegaskan, langkah itu yang diumumkan naib presidennya, Chang Lih Kang sebaik sahaja permohonan cuti Zuraida diluluskan sedangkan kes sama tidak diambil ketika pemimpin lain bercuti sebelum ini.

“Saya menganggap kenyataan YB Chang Lih Kang ini sebagai tidak wajar malah ia dilihat sebagai tindakan yang terpilih.

“(Malah) tiada kenyataan serupa dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Pusat atau Biro Politik parti apabila YB Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli mengumumkan keputusan sama untuk bercuti sebagai naib presiden parti tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Lih Kang dalam satu kenyataan mengatakan Biro Politik PKR telah meluluskan cuti Zuraida daripada semua jawatan dalam parti namun beliau dihalang daripada mengadakan sebarang program dan aktiviti parti di cabang dan ranting parti seluruh negara.

Haniza juga mempersoalkan arahan terbaru Biro Politik PKR terhadap Zuraida sedangkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebelum ini didapati boleh mempengerusikan mesyuarat cabang walaupun sedang bercuti daripada jawatan naib presiden.

“Kenapa Biro Politik tidak menasihati Nurul Izzah agar tidak mencampuri pentadbiran cabang sepanjang tempuh cutinya sebagaimana ditegaskan kepada YB Zuraida? Mengapa layanan berat sebelah dan terpilih ini terjadi?

“Jikapun halangan terhadap Zuraida ini berkaitan dengan proses tatacara Lembaga Disiplin, ia sepatutnya diumumkan sewaktu Lembaga Disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab yang diberikan pada 15 Januari lalu,” katanya.

Menurut Haniza, sekatan itu tidak wajar dikenakan kerana dakwaan ke atasnya yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin PKR belum dijatuhkan sebarang hukuman atau digantung dariapda parti itu.

“Dipanggil bela diri di hadapan Lembaga Disiplin pun belum lagi. Apakah Biro Politik sedar bahawa tindakan mereka ini tidak langsung mencerminkan keadilan yang menjadi asas kepada perjuangan PKR?

“Saya berharap YB Chang Lih Kang dan seluruh Majlis Pimpinan Pusat dapat bersikap lebih adil dan memberi layanan sama rata kepada semua pimpinan parti.

“Jangan bertindak mengikut nafsu dan atas dasar kebencian. Sebarang tindakan wajar dibuat dalam keadaan rasional serta mengikut lunas-lunas peraturan parti,” katanya.

Katanya lagi, Biro Politik PKR perlu kembali kepada Fasal 5(5.1) Perlembagaan parti iaitu mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif serta bersatu.

“Ini adalah pegangan perjuangan PKR yang wajar dijunjung oleh pimpinan dan semua anggota akar umbi parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette