KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan perakuan kotak TV Android oleh SIRIM dan label SKMM tidak melibatkan kelulusan terhadap sebarang aplikasi untuk penstriman dan memuat turun sebarang kandungan yang dilindungi hak cipta secara haram.
Ini kerana, perakuan yang dikeluarkan oleh SIRIM untuk kotak TV Android dan label SKMM pada peralatan tersebut hanya membabitkan pematuhan modul WiFi dan Bluetooth terhadap standard teknikal yang dikuatkuasakannya.
Oleh itu, SKMM memberi amaran tegas kepada pembekal dan penjual supaya tidak menyalahgunakan label itu untuk menggambarkan pihak SKMM membenarkan penjualan kotak TV Android yang diperakui oleh SIRIM untuk kegunaan penstriman dan memuat turun kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.
SKMM tidak akan berkompromi sekiranya ia mendapati berlakunya penyalahgunaan label MCMC oleh pihak penjual, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan seperti pembatalan sijil pemerakuan kotak TV Android serta arahan untuk menarik semula semua kotak TV Android yang telah dijual dan berada dalam pasaran akan dibuat tanpa prejudis jika didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat-syarat yang telah dikeluarkan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan kotak TV Android yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram kerana ianya adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sementara itu, di antara Oktober 2018 dan Januari 2020, SKMM telah mengeluarkan kompaun sejumlah RM67,000 terhadap empat kesalahan membeli dan menjual kotak TV Android yang tidak diperakui.
Manakala, tujuh lagi kes pula telah didakwa di mahkamah dan didenda sejumlah RM194,500 bagi tempoh yang sama.
Orang ramai disyorkan untuk memanfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun laman sesawang https://ecomm.sirim.my bagi memastikan sebarang kelengkapan komunikasi yang hendak dibeli adalah sah dan diperakui. – MalaysiaGazette