SHAH ALAM – Tiga penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis sebelum memeras ugut pekerja asing berdekatan satu kedai runcit di Klang Utara, dekat sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurul Huda Mohd Salleh berkata, ketiga-tiga penguat kuasa berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun terbabit, ditahan sejurus laporan dibuat oleh pekerja asing berkenaan mengenai kejadian itu sekitar 4 petang.
“Mangsa lelaki berumur 29 tahun bekerja sebagai pembantu di kedai runcit itu. Dia didatangi ketiga-tiga suspek yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis dan memeriksa dokumen rakannya yang juga warga asing.
“Suspek kemudiannya memeras ugut mangsa sejumlah wang tunai bertujuan untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nurul Huda berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan kes itu akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin dalam kenyataan memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai penahanan tiga penguat kuasa berkenaan dan bersedia bekerjasama dengan polis untuk siasatan lanjut.
“MPK juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Pekerja (Perlakuan Dan Tatatertib) MPK 1995 sekiranya ketiga-tiga penguat kuasa itu didapati bersalah dan menjejaskan imej MPK,” katanya.
Beliau menegaskan MPK tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa oleh warga kerjanya. – Bernama