Home Pendapat Daya saing & masa depan orang Melayu B40

Daya saing & masa depan orang Melayu B40

B40
Gambar hiasan

CABARAN yang dihadapi oleh rakyat B40 yang majoritinya orang Melayu hari ini jauh lebih getir berbanding 30-40 tahun lalu.

Kelembapan ekonomi negara dapat dilihat di mana pada 2019 ekonomi negara tumbuh pada kadar 4.3% berbanding unjuran 4.7% dan trend penurunan ini dijangka berterusan jika Pakej Rangsangan Ekonomi yang bakal dilancarkan tahun ini masih gagal membawa impak besar kepada pemulihan ekonomi negara.

Negara hari ini memerlukan struktur baru ekonomi khususnya dari aspek produktiviti dan daya saing.

Model ekonomi era 80an dan 90an yang pernah membuat Malaysia menerima jolokan sebagai Harimau Timur tidak lagi berkesan. Pastinya ia banyak dipengaruhi oleh landskap ekonomi serantau dan dunia yang sudah jauh berubah. Dasar ekonomi terbuka dan sistem sokongan yang mantap yang diamalkan oleh China, Vietnam dan Indonesia telah banyak mengubah lanskap ekonomi serantau.

Sektor Perkilangan dan Penghijrahan

Penghijrahan beramai-ramai orang Melayu pada tahun 80an – 90an ke bandar-bandar utama yang menawarkan kerja bergaji tetap terutamanya di sektor perkilangan telah menyumbang kepada peningkatan populasi orang Melayu di bandar.

Dari satu sudut ianya membawa kesan positif kerana telah meningkatkan populasi orang Melayu di bandar di samping membolehkan mereka merebut peluang-peluang yang ada di samping membina kehidupan yang lebih baik.

Namun demikian, ramai juga yang tidak jauh berubah dari ketika hidup di kampung dahulu di mana kehidupan mereka masih dibelenggu kemiskinan akibat cabaran kos sara hidup di bandar yang tinggi berbanding di kampung.

Kos Sara Hidup

Isu peningkatan kos sara hidup yang tidak seimbang dengan pendapatan yang pastinya dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi negara telah menyebabkan jumlah rakyat miskin di bandar mahupun di kampung terus meningkat.

‘Kegagalan’ kerajaan memperkenal dan melaksanakan dasar-dasar ‘mengupaya’ hak golongan bawahan dalam pelbagai aspek secara berkesan telah memburukkan lagi keadaan dan kebajikan mereka.

Sewajarnya kerajaan memberi perhatian terhadap perlunya memperkenalkan dasar baharu yang benar-benar ampuh iaitu mampu menjaga kebajikan dan meningkatkan daya saing rakyat golongan B40.

Kaedah yang digunakan kerajaan dahulu dengan memberi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dikritik hebat oleh kerajaan hari ini yang pada ketika itu pembangkang sedikit sebanyak lebih melegakan rakyat berbanding Bantuan Sara Hidup (BSH) kerajaan sekarang yang kadarnya jauh lebih kecil.

Ada segelintir masyarakat dan pemimpin melihat bantuan untuk golongan B40 ini sebagai melemahkan lagi mereka.

Hakikatnya, golongan bawahan ini juga tidak mengharapkan bantuan jika kerajaan mampu membangunkan ekonomi di mana banyak peluang pekerjaan disediakan.

Malangnya kerajaan dan sektor swasta masih gagal untuk membangunkan model ekonomi yang kompetitif.

Kegagalan kerajaan dan sektor swasta menjadikan inovasi sebagai pemacu utama daya saing mereka telah membuatkan mereka terperangkap dengan model ekonomi lama yang berteraskan kepada komoditi, kecekapan dan kos buruh rendah.

Dua faktor ini bukanlah kelebihan kompetitif mapan khususnya apabila ada negara lain boleh menawarkan kecekapan lebih baik dengan kos buruh lebih rendah seperti Vietnam, Indonesia dan negara membangun yang lain.

Dasar Kehidupan Sejahtera Rakyat B40

Berbalik kepada nasib rakyat dalam kategori B40, beberapa aspek perlu diberi penekanan dalam membangunkan dasar baru iaitu mesti berpaksikan kepada kos sara hidup dan daya saing.

Sebagai contoh, antara aspek yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan adalah penurunan harga barang, penurunan harga rumah, keluasan capaian, integrasi, kecekapan pengangkutan awam, penurunan harga minyak, peningkatan kualiti pendidikan, peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan serta peningkatan kadar gaji minimum iaitu memberi perhatian khusus untuk rakyat dalam kelompok B40.

Satu formula dan model pengukuhan daya saing warga B40 yang berteraskan Dasar Kehidupan Sejahtera Rakyat B40 contohnya perlu dibangunkan segera.

Kerajaan menerusi kementerian berkaitan perlu segera membangunkan inisiatif-inisiatif baru yang boleh membawa kepada penurunan kos sara hidup contohnya kos harga barang dengan memperkemas pemantauan terhadap rantaian pembekalan. Tindakan tegas secara konsisten perlu diambil terhadap pemborong/peniaga yang tamak.

Begitu juga dengan isu kos harga rumah yang tinggi di mana rumah perlu dibangunkan mengikut kelas ekonomi rakyat. Syarikat-syarikat perumahan perlu ‘diajar’ agar lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat keseluruhan atau dengan kata lain lebih berperikemanusiaan. Perkara ini pastinya boleh di kawal oleh kerajaan.

Satu inisiatif yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam aspek perumahan ini ialah dengan mewujudkan Tabung Perumahan Rakyat di mana rakyat boleh menabung untuk pembelian rumah mereka dan di masa yang sama boleh juga menjadi saluran buat mereka yang berkemampuan memberi sumbangan atas nama infak kepada mereka yang memerlukan rumah.

Dengan pengurusan dan strategi pelaburan yang cekap, pastinya dana lebih besar boleh dijana dan dengan ini lebih banyak tanah dan rumah mampu milik untuk rakyat B40 dapat dibangunkan. Pastinya tabung ini boleh dibuka kepada golongan M40 juga.

Produktiviti dan Daya Saing

Walauapapun dasar mahupun inisiatif yang ingin dibangunkan, produktiviti dan daya saing negara perlu terus ditingkatkan.

Merujuk kepada kaedah menilai kadar produktiviti rakyat tidak sewajarnya berteraskan kepada produktiviti mereka yang sedang atau mempunyai pekerjaan sahaja tetapi mereka yang boleh bekerja.

Mengambil kira mereka yang bekerja dan boleh berkerja tetapi tidak bekerja kerana tiada peluang pekerjaan dapat mepmberi gambaran sebenar akan tahap produktiviti dan daya saing negara.

Hakikat hari ini amat mencemaskan di mana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia 2019 terdapat lebih 500,000 rakyat menganggur dan dari jumlah itu lebih 170,000 siswazah yang mana kebanyakannya dari keluarga B40 yang pastinya orang Melayu. Mereka adalah yang berdaftar sebagai pencari kerja dengan JobsMalaysia.

Statistik ini adalah umpama ‘tip of the iceberg’ kerana jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar jika diambil kira mereka yang diberhentikan kerja, mengambil voluntary seperation scheme atau tidak mempunyai kerja tetap baik di bandar mahupun kampung.

Jelas sekali produktiviti dan daya saing negara berada pada tahap membimbangkan.

Bayangkan kesan negatif kepada negara dari aspek produktiviti dan daya saing dengan jumlah rakyat mampu bekerja tetapi tidak mempunyai kerja kerana tiada peluang pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan atau kebolehan mereka.

Kesimpulan

Kerajaan perlu melihat kembali struktur ekonomi negara. Dasar dan inisiatif strategik perlu dibangunkan segera bagi memastikan jurang ekonomi antara kelompok rakyat dalam kategori B40, M40 mahupun T20 tidak terus melebar.

Di samping itu kerajaan dan sektor swasta perlu berubah dengan menjadiksn inovasi sebagai pemacu utama iaitu baik dari aspek operasi mahupun cabang ekonomi atau perniagaan sebagai teras baru dalam pembangunan produktiviti dan daya saing.

Strategi terus bergantung kepada model ekonomi lama yang berteraskan kepada pendekatan konvensional dalam 3 cabang ekonomi negara iaitu perkhidmatan, pembuatan dan pertanian akan membuatkan Malaysia terus tercicir dalam dunia persaingan hari ini dan di masa hadapan. Inovasi wajar menjadi fokus utama kerajaan dan sektor swasta dalam memulihkan ekonomi dan daya saing negara.

Akhir kata, bangkitlah kerajaan, bangkitlah kementerian, bangkitlah agensi-agensi kerajaan, bangkitlah sektor swasta dan bangkitlah seluruh rakyat Malaysia. Bersama kita melakukannya dalam usaha memulihkan ekonomi Malaysia. Kita mampu melakukannya. – MalaysiaGazette