KUALA LUMPUR – Tahap Kesihatan dan keselamatan para atlet negara sentiasa dipantau dan diberi keutamaan yang serius ekoran penularan Covid-19 yang semakin menakutkan komuniti dunia.
Lantaran itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, adalah menjadi tanggungjawab KBS untuk menjamin kesihatan para atlet.
“Kami ikut nasihat Kementerian Kesihatan kerana mereka adalah sumber rujukan utama kita (KBS) dan sentiasa menasihati dan memastikan atlet kita mematuhi segala arahan dan garis panduan penjagaan kesihatan.
“Kalau kata negara ini berisiko tinggi dan kita tidak patut ke sana, kedua, pada masa yang sama bagi atlet yang berlatih di negara berisiko tinggi kita panggil mereka pulang semula dan mereka yang tidak ingin pulang, mereka dikuarantin di satu tempat sahaja dan diletakkan di wilayah bukan berisiko tinggi.
“Kesihatan dan keselamatan atlet menjadi keutamaan kita walaupun kos tinggi, tetapi kalau ada atlet yang hendak balik cepat, kita akan terbangkan dia pulang ke sini,” katanya selepas Program Sarapan dengan Ahli-Ahli Bersatu Parlimen Titiwangsa.
Dalam pada itu beliau juga menjelaskan, KBS kini memberi perhatian serius untuk memastikan setiap atlet yang pulang ke negara menjalani saringan kesihatan yang ditetapkan.
“Dia kena lalui saringan kuarantin di sini seperti yang ditetapkan secara mandatori termasuk 14 hari dikuarantinkan dan sebagainya.
“Setakat ini ada atlet yang balik ke sini sudah melalui saringan kesihatan Covid-19,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette