ISLAMABAD – Pakistan International Airlines (PIA) menggantung tugas seorang juruterbang yang didakwa tidur selama dua setengah jam semasa dalam penerbangan dari Islamabad-London, menurut laporan Dawn.
Kejadian itu berlaku pada bulan April lalu apabila Amir Akhtar Hashmi tidur di tempat duduk penumpang selepas menyerahkan pesawat itu kepada seorang juruterbang yang masih di bawah latihan tidak lama selepas berlepas.
Tindakan juruterbang itu meletakkan nyawa 305 orang penumpang dalam risiko.
Dawn yang memetik sumber sebagai berkata, PIA pada awalnya enggan mengambil tindakan ke atas Hashmi, yang juga bekas Presiden Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan Pakistan.
Bagaimanapun, tekanan daripada pihak atasan menyebabkan tindakan dibuat ke atas beliau.
Jurucakap PIA, Danyal Gilani berkata, Hashmi digantung kerja kerana masih disiasat namun enggan mengulas lanjut.
Pada 26 April lalu, Hashmi ditugaskan menerbangkan pesawat PK-785 ke London dengan pegawai pertama, Ali Hassan Yazdani.
Seorang lagi pegawai pertama, Mohammad Asad Ali, yang masih di dalam latihan juga berada dalam kokpit.
Hashmi, merupakan seorang pengajar yang mendapat bayaran lebih Rs100,000 setiap bulan untuk melatih juruterbang dan dia sepatutnya melatih Ali semasa penerbangan. – MalaysiaGazette